Tuesday, September 28, 2010

Aidilfitri 1431H: bagaimana rasa gembira disulami sedih?







Aidilfitri 1431H sungguh mencabar. Hari yang seluruh umat Islam sedang bergembira menyambut Aidilfitri yang ditunggu-tunggu setelah sebulan berpuasa. Kami sekeluarga juga cukup gembira kerana tahun ini beraya di Kuching. Harapan berbunga kononnya mudahlah mendapat kunjungan sahabat dan kenalan serta dapat pula berkunjung ke rumah teman dan sahabat.






Kami mulai i'dul fitri pada malam sebelum raya dengan solat Isya dan bertakbir Raya di masjid Gita yang dipimpin Ustaz Hashim Man. Solat subuh kami buat berjemaah di rumah sebelum ke Masjid Jamek kuching untuk solat sunat Aidilfitri. Balik rumah kemudian rumah kami dipenuhi kaum keluarga saya dengan semua adik-beradik saya sudah bersiap menunggu di rumah. Kemudian adik-adik ipar dan biras saya pula memenuhi ruang. Dapatlah kami sekeluarga beraya sakan. Rasanya inilah saat kami dapat berkumpul penuh sekeluarga.






Namun di dalam kemeriahan tersebut masing-masing disaluti kehibaan akan ditinggalkan oleh Asyraf yang akan berangkat ke Mesir pada hari Raya keempat. Sedih....

Lagi foto semasa Safari Ramadhan







Ramadhan 1431H yang sungguh indah!







Syawal kini telah melangkau minggu ketiga. Namun kemeriahan Aidilfitri rasanya tidak semeriah dahulu. Sebaliknya mengimbau keindahan Ramadhan lalu, rasanya pasti tidak sama dengan Ramadhan sebelum ini. Hati mula tertanya-tanya adakah ada lagi Ramadhan untuk saya?

Isteri dan anak-anak begitu ghairah saban malam ke Masjid Gita mengikuti solat Isya dan kemudian solat Terawih yang diimamkan oleh al-fadhail Ustaz Hashim Man. Saya yang sesekali dapat bersama turut terasa 'ruh keberkatan' berimamkan Ustaz Hashim. Selain itu isteri dan anak-anak begitu gigih mengikuti Qiyammulail setiap jam 3 pagi. Saya hanya dapat ikut sekali dan selebihnya di rumah sahaja.

Sebaliknya saya baru hendak bertatih-tatih di Jabatan Agama untuk mengimamkan solat dan menyampaikan kuliah ringkas di surau atau masjid semasa Safari Ramadan. Solat pun setakat solat Isya atau maghrib sahaja. Untuk solat terawih akan cuba mengelak. Tahun ni amat bertuah kerana ada Asyraf yang boleh diharap menjadi imam Terawih. Ramai ustaz-ustaz JAIS pun rasa lega kerana ada orang yang dapat 'cover'.

Tapi bila fikir-fikir balik, pening juga bila ada makmum tu mantan Mufti, Yang Dipertua Majils Islam, mantan Imam Besar dan lain-lain Ustaz yang hebat-hebat sedangkan imamnya cuma bakal pelajar Universiti Azhar. Semoga Allah s.w.t. mengampuni semua kami atas kelemahan kami sebagai hambaNya. Amin

Monday, August 2, 2010

LAGI FOTO LAWATAN KE BRUNEI
















Lagi foto. enjoy..

LAWATAN MAJLIS ISLAM KE BRUNEI











20hb Julai 2010, rombongan Majlis Islam Sarawak (MIS) diketuai YBhg. Datu Hj. Putit Matzen telah melawat ke negara Brunei Darulsalam dari Bandar Miri melalui Pos Immigrisen Sg. Tujuh. Lawatan kami ke Brunei adalah ke Kementerian Hal Ehwal Ugama. Kami disambut di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Di situ sesi takruf dan Taklimat oleh pihak Kementerian telah diadakan. Kami juga dijamu dengan makan tengahari. Kami solat zuhur di Masjid Omar Ali Shaifuddin. Seterusnya kami melawat ke Bangunan alat Kebesaran Diraja (Muzium). Sementara YDP MIS dan VIP lain dibawa menziarahi YB Menteri Hal Ehwal Ugama di Pejabatnya, kami di bawa melawat ke Pusat Da'wah Islamiah khususnya melihat pameran perkembangan Islam di negara Brunei. Kami bertolak balik ke Miri jam 5.00 pm setelah dibawa membeli belah. Pengalaman yang sukar dilupakan adalah kemesraan yang terjalin dengan sebahagian ahli-ahli Majlis...Mudah-mudahan memberikan inspirasi dan motivasi baru di dalam perjuangan Islam.

Monday, July 5, 2010

Lagi foto-foto perjalanan

The Lost World of Tambun, Tambun Ipoh Tugu Peringatan JWW Birch, Ipoh.


Masjid Sultan Idris Shah Ipoh




Ladang Teh Cameron Highland.


Ladang Strawberry, Cameron Highland.

Foto-foto perjalanan cuti keluarga Jun 2010







Inilah sebahagian foto-foto perjalanan jauh yang pernah saya janjikan sebelum ini. Kali foto bersama sahabat & keluarga masing-masing.
Atas kiri bersama Mahir & Mahmad. Atas kanan bersama Ahmad S. Bawah bersama Sazidin.



Saturday, July 3, 2010

Tuesday, June 8, 2010

Perjalanan jauh yang sangat berbaloi..

30 Mei 2010 meninggalkan bumi Kuching. 31 Mei-1 Jun di Kota Bharu. 2 Jun di Cameron Highland. 3 Jun di Ipoh. 4 Jun di Sunway The Lost World of Tambun, Ipoh dan bermalam di Taiping. 5 Jun di Melele, Kodiang & Alor Setar. 6 Jun di Kangar dan terus balik ke Kuantan. 3.00 pagi 7 Jun tiba di Kuantan. 8 Jun di Kuantan. 9 Jun kembali semula ke Kota Bharu.

Apa hasilnya? KEGEMBIRAAN! Sayangnya tak dapat upload semua foto. Size besar sangat. Nantilah lepas kecilkan saiznya.

Perjalanan belum tamat!

Monday, May 10, 2010

Iktibar dari cerita Doraemon


Terus-terang saya adalah antara peminat setia Doraemon. Saya mula meminati komik karya Fujio F. Fujiko ini sejak tahun 1993 lagi apabila saya pertama kali melihat Kartunnya di TV1. Semalam saya sempat lagi menonton satu lagi segmen di dalam Kartun Doraemon melalui NTV7. Lama juga tak berkesempatan menontonnya.

Kisahnya berkenaan dengan Nobita yang ingin tahu apakah perkara yang dibimbangkan oleh Sizuka. Lalu Doraemon meminjamkan alat yang membolehkan Nobita berkomunikasi dengan Sizuka dan Sizuka terpaksa menjawabnya. Rupa-rupnya Sizuka bimbangkan dirinya yang semakin berisi dan takut apabila dewasa nanti menjadi gemuk. Nobita memberitahunya usah bimbang dan pergi ke masa depan menggunakan mesin masa untuk mengambil gambar Sizuka apabila dewasa. Ketika itu Sizuka sedang berada di Amerika Syarikat. Sizuka berasa lega melihat gambarnya pada masa depan yang masih cantik itu.

Setelah membantu Sizuka, Nobita ingin pula mengetahui apakah kebimbangan rakan-rakannya yang lain. Kebimbangan Sunio dan Giant tak payah diceritakan sebab merapu. Kemudian Nobita menggunakan alat tersebut untuk mengetahui kebimbangan Takesugi, salah seorang rakan mereka termasuk Sizuka yang bukan sahaja pandai tetapi juga kacak.

Rupa-rupanya Takesugi bimbang kemungkinan dia dan keluarganya akan berpindah ke Amerika Syarikat. Pada mulanya Nobita gembira dengan khabar angin ini. Ia merasakan jika Takesugi berpindah ke AS maka peluangnya untuk berkahwin Sizuka pada masa akan datang lebih cerah. Tetapi apabila memikirkan yang gambar Sizuka yang diambilnya pada masa depan itu di Amerika Syarikat ia menjadi gelabah. Ia terbayang bagaimana Sizuka dan Takesugi bertemu di AS dan menjalin percintaan. Hancurlah impian Nobita untuk mengahwini Sizuka.

Kebetulan ketika itu Sizuka pula datang ke rumah Nobita. Ketika itu Nobita dan doraemon sedang melihat kebimbangan Takesugi melalui alat itu. Ketika itulah Sizuka turut menyaksikan jawapan Takesugi melalui mesin itu. Sizuka berdukacita. Maklumlah terkenangkan akan kehilangan seorang kawan baik.

Namun akhirnya Nobita tersedar betapa dia tidak perlu bimbang tentang apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Sebaliknya dia haruslah berusaha bersungguh-sungguh dari hari ini. Jika dia mahu Sizuka suka kepadanya maka dia hendaklah menjadi orang yang terbaik dari sekarang. Tiada gunanya bersedih untuk sesuatu pada masa hadapan yang masih belum tahu.

Apa pengajarannya? Tontonlah Doraemon.

Wednesday, May 5, 2010

TIGA DOSA YANG TIDAK DIAMPUNKAN!

Pagi ni sempat late breakfast dengan akh Roslan. Saya berkongsi ilmu yang saya dapat dari kuliah subuh yang saya dengar dari Ustaz Haji Azmi di Masjid Gita beberapa minggu lepas. Tentang salah satu diantara beberapa doa Rasulullah s.a.w. kepada Allah s.w.t tentang umat baginda. Iaitu doa baginda agar Allah s.w.t tetap menerima taubat umat baginda sekalipun nyawa mereka telah sampai ke halkum. Maklumlah ujian kepada umat Nabi Muhammad pada akhir zaman amat berat. Adakah doa Nabi ini dimakbulkan?

Menurut Ustaz Haji Azmi, semua dosa umat Nabi Muhammad pasti akan dimakbulkan asalkan dia bertaubat sungguh-sungguh dengan taubat nasuha. Adapun berkenaan dosa yang tidak akan Allah s.w.t terima dan ampunkan hanya tiga sahaja.

Lalu kita tertanya-tanya apakah tiga dosa tersebut. Adakah Allah s.w.t. akan ampunkan dosa-dosa seperti syirik? Bagaimana dengan berzina? Membunuh orang? Mencuri? Menderhaka kepada ibu bapa? Berdosa kepada sesama muslim?

Jawabnya; semua dosa-dosa itu pasti akan diampunkan oleh Allah s.w.t! Subhanallah! Bayangkan dosa membunuh, minum arak, zina dan syirik boleh diampunkan! Tetapi apakah pula tiga dosa yang tidak akan diampunkan itu?

Menurut Ustaz Haji Azmi, tiga dosa yang tak diampunkan itu adalah pertamanya dosa keengkaran dan kesombongan iblis yang enggan sujud kepada Nabi Adam a.s. apabila diperintahkan Allah s.w.t berbuat demikian. Keduanya dosa Qabil yang membunuh adiknya Habil. Ketiganya dosa orang-orang yahudi yang terlibat membunuh Nabi-nabi mereka seperti Nabi Zakaria a.s.

Ternyata umat Nabi Muhammad s.a.w. amat beruntung kerana Allah s.w.t akan menerima taubat kita selagi kita mahu bertaubat.

Berbalik kepada persoalan sama ada Allah s.w.t. makbulkan doa Nabi Muhammad di atas, maka menurut Ustaz Haji Azmi, taubat tersebut akan diterima sekalipun pada penghujung nyawa! Subhanallah!

Namun janganlah ini dijadikan tiket kepada kita untuk terus melakukan maksiat dan bergelumang dengan dosa. Sebaliknya hendaklah kita banyak-banyak beristifar dan memohon keampunannya sepanjang masa sehinggalah akhirnya kita kembali kepadaNya.

Monday, April 26, 2010

Tak mengapa tak sempat solat sunat tengah malam

Pada suatu malam, saya memberitahu isteri yang saya hendak mengikuti Qiyamulail di Masjid. Malangnya setelah bangun menjelang subuh, akibat terlalu penat saya tidak sempat mendirikan satu apa pun solat sunat. Di dalam keadaan dukacita dan lemah longlai saya gagahkan juga membawa isteri memandu ke masjid untuk solat subuh. Elok sahaja selesai parking sayup-sayup terdengar pula bilal melaungkan qamat untuk solat subuh. Dengan rasa yang penuh kecewa kerana tak sempat pula mendirikan solat sunat tilawah masjid, kaki terus melangkah ke saf solat. Alhamdulillah masih sempat bertakbir bersama Imam.

Usai solat, kami dihidangkan dengan kuliah subuh. Namun pagi itu, hati yang berduka sedikit kerana gagal mengikuti Qiyamullail, tiba-tiba terubat apabila Imam yang mempengerusi Kuliah subuh dengan ayat-ayat penuh inspirasi yang membuat hati kembali berbunga takjub mengkagumi rahmat kasih-sayang Allah s.w.t.

Imam tersebut membuka kata-kata memanjat sepenuh kesyukuran kerana semua jemaah masih lagi dipanjangkan umur sehingga berjaya menunaikan solat subuh secara berjemaah. Beliau mengingatkan betapa semua orang yang sempat mendirikan solat subuh seolah-olah dia telahpun mendirikan solat sunat seluruh malamnya.

Subhanallah saya tersentak kerana teringatkan Hadis dari Uthman bin Affan r.a. Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang solat Isya secara berjemaah akan mendapat pahala seolah-olah bangun separuh malam dan sesiapa yang solat subuh berjemaah akan mendapat pahala sepenuh malam" (riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w. : "Andaikata mereka mengetahui, tentang pahala yang ada di dalam solat Isya dan subuh, nescaya mereka mendatangi kedua waktu itu dengan berjemaah walaupun dengan merangkak kalau mereka lemah." (Riwayat Bukhari)

Dari Jundub bin Abdullah berkata Rasulullah s.a.w.: "Sesiapa yang menunaikan solat subuh, maka dia berada dalam perlindungan Allah."

Bersabda Rasulullah s.a.w.: "Para malaikat malam bertukar dengan malaikat siang dan mereka berhimpun di langit pada waktu solat subuh dan asar, mereka kemudian naik ke langit ALLAH bertanya mereka dan Dia lebih mengetahui. Bagaimana kamu tinggalkan hambaKu?' Para malaikat menjawab: Kami tinggalkan mereka dalam keadaan menunaikan solat dan kami bertemu mereka juga dalam keadaan menunaikan solat, ampunkanlah mereka pada hari pembalasan. (Muttafaqun Alaih)

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Tidak akan masuk neraka seorang yang menunaikan solat sebelum terbit matahari dan sebelum tenggelam matahari." (riwayat Muslim)

Saya mula mendengar Kuliah subuh pagi itu dengan airmata bergenang terkenangkan rahmat dan kasih sayang Allah pada hambanya yang lemah seperti saya masih layak mendapat pahala mendirikan solat seluruh malam walaupun hanya solat subuh berjemaah. Tak perlulah komen panjang-panjang. Marilah kita berusaha sekuat mungkin setiap subuh ke masjid berjemaah kerana ia jauh lebih mudah berbanding bersolat sepanjang malam. Wallahualam.

Saturday, April 10, 2010

Kita terlalu kecil. Tak nampak pun





Saya duduk di seat 6A di dalam pesawat MAS dalam perjalanan balik ke Kuching dari Sibu. Saya melihat dari tingkap di sebelah dan melihat bagaimana pesawat kami meluncur laju. Saya melihat bagaimana keadaan pesawat meninggalkan lapangan terbang yang luas tiba-tiba menjadi kecil. Bandar Sibu yang besar tiba-tiba menjadi kecil. Hutan belantara yang luas menjadi seperti hampran permaidani hijau. Manusia langsung tidak kelihatan.

Alangkah kecil dan halusnya kita dari atas. Bayangkan Allah yang Maha Tinggi melihat kita dari pandangan yang paling atas. Firman Allah s.w.t ; " Dan bagi Allah jualah sifat yang tertinggi; Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (An-Nahl :60)
Dari ketinggian hanya 16,000 kaki dari paras laut pun kita tak kelihatan, apalah faedahnya kita sombong dan angkuh di bumi Allah ini. Bukan sahaja tak tahu malu. Memang layak pun Allah azab dan siksa di akhirat nanti, Nauzubillahi min zalik. Nabi s.a.w bersabda mafhumnya; " tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya memendam sebesar biji sawi dari sifat sombong." Firman Allah sw.t; "Aku memalingkan dari keterangan-keteranganKu orang-orang yang menyombongkan diri di muka bumi tanpa hak." (al-Araf :146) " Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang menyombong diri." (an-Nahl :23)

Justeru, janganlah sombong dan angkuh memijakkan kaki kotor kita di bumi Allah yang suci ini.



Thursday, April 8, 2010

Sarawak tanahairku




Saya pernah tertanya-tanya di manakah saya 'home town' sebenarnya? Biasanya hometown kita adalah tempat dimana kita dilahirkan. Tempat kita dibesarkan. Tempat di mana kita lazimnya bersekolah. Tempat dimana kita berumahtangga. Tempat kita mencari rezeki. tempat kita settle down bersama keluarga tersayang.

Itulah dilema diri saya. Dilahirkan di Taiping, Perak. Dibesarkan dan bersekolah di Ipoh, Perak, Sri Aman, Sarawak, Melaka dan Kuching. Menyambung pengajian tertinggi di Kuala Lumpur. Akad nikah di Kota Bharu Kelantan. Tetapi akhirnya mencari rezeki dan settle down bersama Keluarga di Kuching.

Semasa bersekolah saya teringat sewaktu perhimpunan saya selalu menyanyi lagu NegaraKu selain lagu-lagu negeri Perak, Melaka dan Sarawak. Kesemua lagu negeri ini begitu sebati dengan hati sehingga kadang-kadang saya berasa saya anak negeri bagi negeri-negeri berkenaan. Sesekali berkunjung ke Kuala Lumpur dan melintas tempat-tempat penuh nostalgia indah, terasa diri anak jati Kuala Lumpur. Saya tidak pernah tersesat di Kota metropolitan meskipun terpaksa memandu sendiri dan jalanraya atau lebuhraya sentiasa berubah-ubah.

Tetapi 7 April lalu saya mendapat jawapan sebenarnya. Home town saya sebenarnya ialah Kuching, Sarawak. Tempat saya menzahirkan kecintaan saya menabur bakti semata-mata kerana Allah s.w.t. Selepas tamat pengajian di Universiti Malaya, saya dan isteri kembali ke KUching membina kehidupan. Kini hampir 20 tahun kami di bumi kenyalang bertuah ini dan memperjuangkan matlamat kehidupan di sini.

Alhamdulillah akhirnya Allah s.w.t. memperkenankan agar sekelumit sumbangan kami dihargai akhirnya oleh 'hometown' kami. Moga-moga Allah s.w.t akan terus melimpahkan taufik dan hidayahNya kepada kami untuk terus berjuang dan mengurniakan kami Syurga al-Jannah pada akhir hayat kami. Amin Ya Rabbal alamin.

Wednesday, March 31, 2010

MEMBENDUNG JENAYAH WARGA ASING





Seorang remaja bertemu saya di Pejabat mengadu halnya. Masalahnya dia telah hamil luar nikah dan mahu tindakan dibuat terhadap lelaki yang telah menghamilkannya kerana enggan bertanggungjawab. Masalahnya lelaki tersebut seorang bukan warganegara!

Saya merasa sedih kerana apa yang saya tak mahu bayangkan suatu masa dahulu, kita telah menjadi realiti. Betapa mudahnya gadis remaja kita terpedaya dengan kelicikan warga asing menabur janji-janji palsu. Sedangkan media sebelum ini telah melaporkan begitu ramainya gadis-gadis kita telah terpedaya.

Kita mesti menggiatkan lagi kempen "Anda bijak jauhi zina" di mana-mana. Tumpuan khususnya adalah ke sekolah-sekolah, kerana kesedaran awal mesti dibina seawal mungkin tentang ancaman zina terhadap umat Islam. Keduanya, ibu bapa mesti dingatkan perihal pentingnya mereka mengambil tahu pergerakan anak gadis mereka. Jangan sampai anak-anak terlalu bebas hidupnya sehingga akhirnya terjebak. Ketiganya pihak penguatkuasaan hendaklah memperbanyakkan operasi pencegahan. Risikan dan usaha menjejaki warga asing yang datang ke negara ini untuk tujuan jenayah hendaklah dibuat selalu. Seterusnya mengambil tindakan awal sebelum mendatangkan masalah. Keempatnya, sebagai anggota masyarakat kita hendaklah peka dengan apa yang berlaku disekeliling kita. Sentiasa ambil endah apa-apa perkara yang mencurigakan. Laporkan kepada pihak berkuasa agama atau penguatkuasa jika mensyaki sesuatu jenayah akan berlaku.

Akhirnya kelima, Kerajaan perlu mengkaji semula peraturan kemasukan warga asing yang melimpah ke negara ini terutama Afrika dan China yang menyumbang terlalu banyak masalah sosial dan jenayah. Walaupun kita mempunyai dasar menggalakkan pelancongan dan menerima masuk para pelajar asing tetapi kita mesti mempunyai syarat-syarat dan peraturan yang lebih berkesan memastikan warga asing ini tidak menyalahgunakan kebenaran masuk yang diberikan. Kaji semula undang-undang dan peraturan sedia ada. Kaji dan pinda! Insya allah kita dapat menyelamatkan umat Islam kita.

Sunday, March 28, 2010

Penting tunjukkan imej terbaik Islam

Pada 28 Mac lalu, saya dan isteri berkesempatan menghadiri walimah seorang adik saudara kita yang pernah saya Islamkan. Pada hari bahagia itu, saya dapat merasakan kebahagiaan kedua-dua mempelai sewaktu berkesempatan menepung tawar keduanya. Syukurlah kerana adik tersebut dijodohkan Allah s.w.t dengan seorang suami yang baik dan dapat terus membimbingnya. Semoga keduanya dipanjangkan jodoh ke akhir hayat. Amin...

Sepanjang walimah tersebut yang paling tidak saya lupakan adalah dapat duduk bersama-sama dengan bapa pengantin perempuan. Pada mulanya saya berasa kecut juga kerana takut dimarah-marah kerana telah mengislamkan anak perempuan kesayangannya. Maklumlah sibapa bekas anggota tentera yang berbadan tinggi dan sasa. Takut-takut dia mengamuk, aduh meletuplah badan saya..

Beliau memberitahu saya dia tidak lagi berasa keberatan melihat anaknya memeluk Islam kerana dia tetap menjadi anaknya yang baik. Masih menghormati dan menyayangi ibubapanya. Tambahan pula melihat ada orang Islam yang melayan anaknya dengan begitu baik dan layanan orang Islam terhadap keluarga mereka begitu baik seolah-olah tidak ada jurang agama yang menghalang persaudaraan ini.

Beliau memberitahu saya betapa sebelum ini pun ada dua adik beradiknya juga telah memeluk Islam. Justeru Islam bukanlah asing buatnya. Kemudian apabila saya memberitahunya latar belakang saya, dia kagum kerana mengenali ramai saudara-saudara saya di kampung dan kami berasa betapa kami seperti ada persaudaraan erat. Apatah lagi dengan kemampuan saya berjaya di dalam kerjaya dan berdakwah.

Sebelum berpisah sempat juga kami bertukar-tukar no telefon dan saling mengharapkan datang berkunjung ke rumah antara satu sama lain suatu hari nanti. Di dalam hati saya menambahkan keyakinan bahawa tidak mustahil orang Iban menerima Islam. Sama sekali tidak mustahil. Hanya kita yang telah Islam hendaklah sentiasa mempamerkan imej terbaik Islam setiap masa. kita mungkin tidak mampu berdakwah secara langsung untuk menarik mereka kepada Islam. Tetapi sekurang-kurangnya jika mereka melihat perangai, kelakuan dan akhlak kita yang baik, sekurang-kurangnya ia dapat memberi persepsi baik.

Saya bersyukur dengan apa yang Allah sw.t. telah perlihatkan kepada saya. Saya mendoakan agar si bapa, ibu dan adik beradiknya yang lain juga akan memjadi muslim suatu hari nanti. Amin ya rabbal alamin.

Saya tidak tahu apa agama saya?

Itulah dilema seorang gadis remaja berumur 16 tahun apabila dia dan guru tingkatannya datang ke rumah pada suatu petang ke rumah saya. Pada awalnya saya fikir, masalah ini mudah saya. Namun setelah mendengar dan bertanya lanjut, saya akur masalah remaja ini cukup rumit, cukup sukar dan terlalu rumit.

Anak gadis ini berketurunan Iban berasal dari Ulu Sebuyau, daerah Simunjan Sarawak. Ibu dan bapanya memeluk Islam namun kemudiannya telah keluar agama. Kini kedua-duanya telah memeluk agama Kristian Roman Khatolik dan kembali ke kehidupan sebelum Islam.

Anak gadis ini berasa dirinya tersepit antara kekeliruan kehidupan Kristian kedua ibu bapanya dengan dirinya yang berasakan dirinya adalah seorang Islam. Dia tinggal di sekolah berasrama dan hanya balik apabila hujung minggu tertentu. Setiap kali balik ke rumah konfliks diri akan berlaku apabila ibunya menghidangkan lauk tidak halal termasuk khinzir. Ibu dan bapanya sendiri telah lama kembali menjamah makanan-makanan tidak halal tersebut. Begitu juga keduanya telah lama meninggalkan solat sebaliknya telah pergi bersembahyang di gereja berhampiran.

Gadis ini berstatus Islam pada surat beranak dan kad pengenalannya. Demikian juga kedua-dua adik lelakinya di sekolah rendah masih berstatus Islam. Malangnya kehidupan di rumah jauh dari hidup muslim.

Dengan status dibawah umurnya dan masih disara sepenuhnya ibu bapanya, saya tidak mampu memberikan jalan keluar terbaik buatnya. Cuma saya mencadangkan kepada guru kelas tersebut mencari keluarga angkat buat anak gadis ini. Bimbing dan bantulah dia kembali kepada kehidupan Islam.

"Ya Allah, aku mengadu pada Mu akan kelemahan ku. Aku memohon dan merayu padaMu agar anak ini diberikan taufiq dan hidayahMu. berikanlah kekuatan padanya agar tetap pada aqidah Islam. Bantulah kami menyelamatkannya. Hanya padaMu kami memohon dan meminta. kabulkanlah Ya Allah. Amin ya Rabbal alamin."

Tuesday, March 16, 2010

Apa istimewanya kokpit pesawat?







14 Mac 2010 mungkin tarikh paling mengembirakan buat Aiman. Dia selalu sangat hendak melihat kokpit pesawat kapalterbang walaupun selalu dapat melihatnya di dalam pelbagai buku dan Ensiklopedia. Hari ini dia berpeluang masuk di kokpit helikopter Nuri dan pesawat C135 TUDM kerana Pengkalan TUDM Kuching mengadakan Hari Terbuka untuk keluarga TUDM. Gambar-gambar boleh menceritakan segala-galanya....

Bayu Kundasang kembali menggamit.



Pertengahan tahun 2009, saya menjejaki kaki kali pertama ke bumi Sabah dan mendaki buku lali gunung Kinabalu. Tak sangka awal tahun ini saya kembali ke bumi gunung tertinggi di Asia Tenggara ini. 8-10 Mac saya bersama dengan Ketua Pendakwa Syarie seluruh Malaysia berkampung di Pusat Latihan Islam Kundasang JAKIM, Kundasang. Kami bermesyuarat antara lain membincangkan beberapa kertas cadangan ke arah memperkasakan Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Negeri. Banyak perbincangan dan keputusan telah dibuat. Tunggu dan lihat ajelah ye.




Apa yang boleh saya ceritakan selain mesyuarat tersebut adalah pengalaman berkelana di bumi cantik dan indah tanpa anak-anak. Ia adalah pengalaman yang tidak seronok. Bukan kerana tempat itu tetapi kerana tiadanya anak-anak sebagai teman. Apatah lagi berpisah sementara dengan isteri. Ternyata perantauan tanpa keluarga hanyalah demi tugas semata-mata. Untuk berhibur atau ketenangan minda jauh sekali.




Kini setelah banyak merantau melihat dunia Allah s.w.t yang luas, indah dan mengkagumkan, saya dapati bahawa tempat yang paling mengembirakan adalah di rumah sendiri di Kuching! Ya tempat yang paling membahagiakan ialah di rumah sendiri! Rumah teres kecil ditengah-tengah bandar sesibuk Kuching. Di rumah kecil bertentangan sebuah istana berharga lebih RM6 juta milik salah seorang YB. Rumah kecil yang ada isteri dan anak-anak!

Sunday, February 7, 2010

FOTO-FOTO DI SIBU







Anak-anak yatim : kenapa tidak membela nasib mereka?



Baru-baru ini saya berkesempatan bersama rombongan anak-anak yatim saya dari Kompleks Kebajikan Laila Taib, Kuching bertolak menaiki bas PERYATIM ke Sibu. Tujuan kami adalah untuk bersama-sama menghadiri majlis pecah tanah dan pelancaran derma bagi pembinaan kompleks serupa di sibu.

Perjalanan lebih 6 jam benar-benar menghiburkan saya kerana dapat melihat perangai sebenar anak-anak yatim yang sebenarnya seperti juga anak-anak kita sendiri. Mereka suka menyanyi, bergurau dan suka bercerita. Tetapi mereka sangat-sangat perlukan perhatian dan kasih sayang kita yang mereka lihat dan anggap umpama ayah mereka sendiri.

Saya menginap bersama mereka di hotel Zuhra walaupun sebenarnya saya boleh menginap di hotel yang lebih baik seperti RH Hotel atau Paramount. Tetapi saya sukar melepaskan pengalaman melihat gelagat mereka. Ia benar-benar menghiburkan. Paling menghiburkan apabila melihat aksi mereka semasa rehersal bagi persembahan pada malam pelancaran derma yang dihadiri sendiri oleh YAB Ketua Menteri.

Namun disebalik itu saya melihat bahawa kesungguhan masyarakat kita untuk membela nasib anak-anak yatim masih belum memadai. Bagi yang menderma mereka sebenarnya harus ingat bahawa anak-anak yatim bukan hanya memerlukan derma. Tetapi paling utama perhatian dan kasih sayang. Terutama mereka yang anggap ayah.

Alangkah bertuahnya kita yang lelaki jika dapat menggunakan pengalaman kita di rumah sebagai ayah dan kita curahkan kasih sayang kita pada mereka. Limpahan kasih sayang ini jauh lebih berharga dari wang ringgit. Mereka kehilangan kasih sayang ayah kandung sejak kecil. Justeru kasih sayang ini amat mereka dambakan. Memang benar kasih sayang kita tidak akan dapat menyamai kasih sayang ayah kandung mereka sendiri. Tetapi yakinlah kasih sayang kita yang tulus ikhlas yang lahir dari hati yang kudus pasti dapat memberikan kepuasan pada mereka. Kita tidak rugi apa-apa pun. Firman Allah s.w.t;

"Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: "Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya" dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha kuasa lagi Maha Bijaksana." (Maksud Surah Al-Baqarah : 220)

Di Sarawak, Kompleks di Sibu yang bakal siap pada tahun hadapan ini adalah yang ketiga yang terbesar. Yang pertama KKLT di Kuching di atas tanah seluas 12 ekar boleh menampung seramai 150 orang anak. Di Miri, Kompleks Kebajikan Hamidah Yakub seluas 10 ekar booleh menapung seramai 200 orang anak. Manakala di Sibu dikawasan seluas 13 ekar akan menampung seramai 300 orang anak.



Sunday, January 31, 2010

Pagi ini hujan renyai-renyai. Jalan licin dan kenderaan terpaksa dipandu dengan perlahan dan berhati-hati. Mendung terus menyelubungi bumi Kuching. Barangkali itulah juga cuaca di Samarahan, Sri Aman, Sibu, Sarikei, Bintulu dan Miri. cuaca pagi ini cukup untuk menenggelamkan ingatan bahawa bulan Januari 2010 telah berlalu dan hari ini 1 Februari muncul dengan bilangan hari hanya 28. Baru tersedar (walaupun selalu baru tersedar) betapa masa berlalu begitu pantas menandakan umur kita semakin singkat. Betapa kita perlu mengejar masa bagi menyudahkan kerja-kerja kita di dunia. Betapa ruginya kita mensia-siakan waktu dengan pelbagai kerja-kerja tidak berfaedah.

Saya merasa betapa setiap hari pasti ada perubahan berlaku. Tak perlu pergi jauh hanya melihat diri kita dihadapan cermin, kita dapat melihat kita semakin berubah. Badan semakin gempal. Janggut bertambah. Helaian putih semakin bertambah dan seterusnya. Bila kita melihat isteri kita, dia pun begitu. Mungkin semakin lama semakin kurang mengancam. Maklum faktor usia. Tetapi anehnya semakin ia tua semakin kita sayang padanya dan semakin hari kita tidak mampu tiadanya bersama kita.

Melihat anak-anak lagi banyak perubahan kita lihat. Anak-anak semakin tinggi malah ada yang lebih tinggi dan lebih tegap dari kita. Tenaga mereka juga semakin kuat sementara kudrat kita semakin kurang. Kalau dulu kita bermain badminton boleh menang 15-0 di masa kurang lima minit. Sekarang kalau dapat kalah rubber game pun suatu pencapaian terbaik bagi kita.

Apabila anak kita mula meninggalkan kita kerana menyambung pelajaran barulah kita tahu apa itu sunyi. Itu kalau baru seorang anak. Bayangkan suatu hari nanti semua anak-anak kita pergi seorang demi seorang menyambung pelajaran jauh-jauh dari kita. Apalah akan terjadi kepada kita tatkala tinggal berdua suami isteri. Sukar dibayangkan. Benar sekali, masa itu emas.

Dari Ibnu Umar r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. memegang bahuku lalu ia bersabda: "Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang, atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara).

Dan adalah Ibnu umar r.a. berkata; Jika engkau berada diwaktu petang, maka janganlah engkau menunggu waktu pagi; dan apabila engkau berada diwaktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau, dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau. (Riwayat Imam Bukhari)

Monday, January 25, 2010

Rumahtangga Syurga

Saya banyak mengendalikan kes-kes rumahtangga. Sebagai profesional mudah bagi saya memberikan nasihat dan jalan keluar kepada mereka yang buntu menghadapi krisis rumahtangga. Namun, sejak kebelakangan ini saya diuji dengan kes-kes serupa tetapi melibatkan orang-orang yang saya kenal rapat dan selama ini selalu ada bersama. Dan saya akui cukup sukar untuk menjadi profesional apabila ia melibatkan kawan-kawan dan kerabat rapat sendiri. Ditelan mati emak dibuang mati bapa.

Saya sentiasa terpengaruh dengan emosi sehingga kes-kes yang biasanya saya suruh bercerai tetapi saya tetap pertahankan kerana merasakan saya masih boleh menyelamatkan keadaan. Namun akhirnya saya akur kerana ia telah menjadi Qadar Allah s.w.t dan sebagai hamba saya tahu setakat itulah kemampuan saya.

Krisis rumahtangga bukanlah terhad kepada masyarakat awam tertentu. Ia tidak mengenal sesiapa malah ia boleh berlaku kepada mereka yang daripada latarbelakang agama sekalipun. Bagi yang tidak mempunyai latarbelakang agama atau tiada asas-asas agama apatah lagi. Krisis rumahtangga ini ibarat kanser di dalam masyarakat. Kita tidak tahu asal usulnya, tahu-tahu ia sudah tidak dapat lagi diubati.

Bayangkan seseorang yang telah hidup suami isteri selama berbelas-belas tahun sehingga telah mempunyai anak dara atau bujang boleh mengaku tidak pernah rasa cinta terhadap pasangannya. Setelah bertahun-tahun ia boleh mengaku pasangan tidak romantis. Setelah bertahun-tahun menjadi pasangan yang setia kepada yang satu tetapi esoknya cinta boleh beralih arah.

Cabaran menjadi suami juga bukan mudah. Bayangkan setelah bertahun-tahun bersama isteri tentulah isteri kita semakin lanjut usianya. Kulit tidak lagi halus mulus. Tidak lagi licin dan mula berkedut. Tiba-tiba ada pula anak dara yang tahu tentang statusnya tetapi masih lagi tergedik-gedik menggodanya. Bukan sedikit lelaki yang tertewas. Inilah bibit-bibit krisis.

Saya pernah berasa kecewa apabila terpaksa menanggani kemelut rumahtangga dikalangan rakan-rakan yang zahir dilihat tidak sepatutnya mengalami krisis seumpama ini. Namun sekali lagi saya akur dengan Qadar Allah s.w.t. Tidak semua manusia sempurna. Saya sendiri juga tidak sempurna. Kita tidak akan terlepas dari kesilapan dan kesalahan. Syaitan sentiasa berada disekeliling kita untuk menyesatkan kita. Syaitan tidak pernah berhenti dan tidak akan berputus asa. Justeru kita tidak boleh berhenti melawan syaitan. Tidak tidak boleh berputus asa mengharapkan keampunan allah. Kita tidak boleh berputus asa mengharapkan rahmat Allah. Jadi kepada Allah s.w.t sahaja kita berserah.

"Ya Tuhan. Sesungguhnya aku telah menganiaya diriku dengan penganiayaan yang banyak. Dan tiada yang dapat mengampuni segala dosa melainkan Engkau. Maka ampunkanlah bagiku akan sebagai keampunan dari sisi Engkau dan kasihanilah aku sesungguhnya Engkau yang Maha Pengampun Penyayang." (Istifar yang diajar Rasulullah s.a.w kepada Saidinna Abu Bakar)

Monday, January 18, 2010

Pasca Haji

Apabila saya berpeluang mengulangi kembali pembacaan buku Travelog dakwah karya Prof Dr. Kamil Ibrahim, saya akur dengan kebenaran pengamatan beliau. Terutama perubahan yang diharapkan dengan situasi sebenar apabila kita kembali.

Bagi diri sendiri, memang benar kekangan kerjaya untuk berjaya menunaikan solat berjemaah di masjid pada setiap waktu begitu amat-amat sukar. tetapi jika kita bersungguh dan menyediakan waktu secukupnya kita pasti boleh dengan izin Allah s.w.t. Tetapi sebagai permulaan saya rasa kita boleh bermula secara beransur-ansur. Misalnya solat zuhur di masjid berdekatan.

Namun cabaran seterusnya di rumah. kita yang masih ada tanggungjawab menghantar anak untuk ke kelas Tuisyen sebelah malam pasti menghadapi dilema untuk ke masjid sama ada ke masjid pada waktu maghrib atau Isya. kena korban salah satunya.

Faktor lain termasuklah kesihatan dan keadaan cuaca. Kebetulan awal tahun ini masih belum berkesudahan dengan musim tengkujuh. Tambahlah liatnya.

Apapun ini semua alasan. Soalnya hendak atau tidak. Dr. Kamil memang benar....