Monday, January 25, 2010

Rumahtangga Syurga

Saya banyak mengendalikan kes-kes rumahtangga. Sebagai profesional mudah bagi saya memberikan nasihat dan jalan keluar kepada mereka yang buntu menghadapi krisis rumahtangga. Namun, sejak kebelakangan ini saya diuji dengan kes-kes serupa tetapi melibatkan orang-orang yang saya kenal rapat dan selama ini selalu ada bersama. Dan saya akui cukup sukar untuk menjadi profesional apabila ia melibatkan kawan-kawan dan kerabat rapat sendiri. Ditelan mati emak dibuang mati bapa.

Saya sentiasa terpengaruh dengan emosi sehingga kes-kes yang biasanya saya suruh bercerai tetapi saya tetap pertahankan kerana merasakan saya masih boleh menyelamatkan keadaan. Namun akhirnya saya akur kerana ia telah menjadi Qadar Allah s.w.t dan sebagai hamba saya tahu setakat itulah kemampuan saya.

Krisis rumahtangga bukanlah terhad kepada masyarakat awam tertentu. Ia tidak mengenal sesiapa malah ia boleh berlaku kepada mereka yang daripada latarbelakang agama sekalipun. Bagi yang tidak mempunyai latarbelakang agama atau tiada asas-asas agama apatah lagi. Krisis rumahtangga ini ibarat kanser di dalam masyarakat. Kita tidak tahu asal usulnya, tahu-tahu ia sudah tidak dapat lagi diubati.

Bayangkan seseorang yang telah hidup suami isteri selama berbelas-belas tahun sehingga telah mempunyai anak dara atau bujang boleh mengaku tidak pernah rasa cinta terhadap pasangannya. Setelah bertahun-tahun ia boleh mengaku pasangan tidak romantis. Setelah bertahun-tahun menjadi pasangan yang setia kepada yang satu tetapi esoknya cinta boleh beralih arah.

Cabaran menjadi suami juga bukan mudah. Bayangkan setelah bertahun-tahun bersama isteri tentulah isteri kita semakin lanjut usianya. Kulit tidak lagi halus mulus. Tidak lagi licin dan mula berkedut. Tiba-tiba ada pula anak dara yang tahu tentang statusnya tetapi masih lagi tergedik-gedik menggodanya. Bukan sedikit lelaki yang tertewas. Inilah bibit-bibit krisis.

Saya pernah berasa kecewa apabila terpaksa menanggani kemelut rumahtangga dikalangan rakan-rakan yang zahir dilihat tidak sepatutnya mengalami krisis seumpama ini. Namun sekali lagi saya akur dengan Qadar Allah s.w.t. Tidak semua manusia sempurna. Saya sendiri juga tidak sempurna. Kita tidak akan terlepas dari kesilapan dan kesalahan. Syaitan sentiasa berada disekeliling kita untuk menyesatkan kita. Syaitan tidak pernah berhenti dan tidak akan berputus asa. Justeru kita tidak boleh berhenti melawan syaitan. Tidak tidak boleh berputus asa mengharapkan keampunan allah. Kita tidak boleh berputus asa mengharapkan rahmat Allah. Jadi kepada Allah s.w.t sahaja kita berserah.

"Ya Tuhan. Sesungguhnya aku telah menganiaya diriku dengan penganiayaan yang banyak. Dan tiada yang dapat mengampuni segala dosa melainkan Engkau. Maka ampunkanlah bagiku akan sebagai keampunan dari sisi Engkau dan kasihanilah aku sesungguhnya Engkau yang Maha Pengampun Penyayang." (Istifar yang diajar Rasulullah s.a.w kepada Saidinna Abu Bakar)

No comments:

Post a Comment