Sunday, January 31, 2010

Pagi ini hujan renyai-renyai. Jalan licin dan kenderaan terpaksa dipandu dengan perlahan dan berhati-hati. Mendung terus menyelubungi bumi Kuching. Barangkali itulah juga cuaca di Samarahan, Sri Aman, Sibu, Sarikei, Bintulu dan Miri. cuaca pagi ini cukup untuk menenggelamkan ingatan bahawa bulan Januari 2010 telah berlalu dan hari ini 1 Februari muncul dengan bilangan hari hanya 28. Baru tersedar (walaupun selalu baru tersedar) betapa masa berlalu begitu pantas menandakan umur kita semakin singkat. Betapa kita perlu mengejar masa bagi menyudahkan kerja-kerja kita di dunia. Betapa ruginya kita mensia-siakan waktu dengan pelbagai kerja-kerja tidak berfaedah.

Saya merasa betapa setiap hari pasti ada perubahan berlaku. Tak perlu pergi jauh hanya melihat diri kita dihadapan cermin, kita dapat melihat kita semakin berubah. Badan semakin gempal. Janggut bertambah. Helaian putih semakin bertambah dan seterusnya. Bila kita melihat isteri kita, dia pun begitu. Mungkin semakin lama semakin kurang mengancam. Maklum faktor usia. Tetapi anehnya semakin ia tua semakin kita sayang padanya dan semakin hari kita tidak mampu tiadanya bersama kita.

Melihat anak-anak lagi banyak perubahan kita lihat. Anak-anak semakin tinggi malah ada yang lebih tinggi dan lebih tegap dari kita. Tenaga mereka juga semakin kuat sementara kudrat kita semakin kurang. Kalau dulu kita bermain badminton boleh menang 15-0 di masa kurang lima minit. Sekarang kalau dapat kalah rubber game pun suatu pencapaian terbaik bagi kita.

Apabila anak kita mula meninggalkan kita kerana menyambung pelajaran barulah kita tahu apa itu sunyi. Itu kalau baru seorang anak. Bayangkan suatu hari nanti semua anak-anak kita pergi seorang demi seorang menyambung pelajaran jauh-jauh dari kita. Apalah akan terjadi kepada kita tatkala tinggal berdua suami isteri. Sukar dibayangkan. Benar sekali, masa itu emas.

Dari Ibnu Umar r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. memegang bahuku lalu ia bersabda: "Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang, atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara).

Dan adalah Ibnu umar r.a. berkata; Jika engkau berada diwaktu petang, maka janganlah engkau menunggu waktu pagi; dan apabila engkau berada diwaktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau, dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau. (Riwayat Imam Bukhari)

No comments:

Post a Comment