Sunday, February 7, 2010

Anak-anak yatim : kenapa tidak membela nasib mereka?



Baru-baru ini saya berkesempatan bersama rombongan anak-anak yatim saya dari Kompleks Kebajikan Laila Taib, Kuching bertolak menaiki bas PERYATIM ke Sibu. Tujuan kami adalah untuk bersama-sama menghadiri majlis pecah tanah dan pelancaran derma bagi pembinaan kompleks serupa di sibu.

Perjalanan lebih 6 jam benar-benar menghiburkan saya kerana dapat melihat perangai sebenar anak-anak yatim yang sebenarnya seperti juga anak-anak kita sendiri. Mereka suka menyanyi, bergurau dan suka bercerita. Tetapi mereka sangat-sangat perlukan perhatian dan kasih sayang kita yang mereka lihat dan anggap umpama ayah mereka sendiri.

Saya menginap bersama mereka di hotel Zuhra walaupun sebenarnya saya boleh menginap di hotel yang lebih baik seperti RH Hotel atau Paramount. Tetapi saya sukar melepaskan pengalaman melihat gelagat mereka. Ia benar-benar menghiburkan. Paling menghiburkan apabila melihat aksi mereka semasa rehersal bagi persembahan pada malam pelancaran derma yang dihadiri sendiri oleh YAB Ketua Menteri.

Namun disebalik itu saya melihat bahawa kesungguhan masyarakat kita untuk membela nasib anak-anak yatim masih belum memadai. Bagi yang menderma mereka sebenarnya harus ingat bahawa anak-anak yatim bukan hanya memerlukan derma. Tetapi paling utama perhatian dan kasih sayang. Terutama mereka yang anggap ayah.

Alangkah bertuahnya kita yang lelaki jika dapat menggunakan pengalaman kita di rumah sebagai ayah dan kita curahkan kasih sayang kita pada mereka. Limpahan kasih sayang ini jauh lebih berharga dari wang ringgit. Mereka kehilangan kasih sayang ayah kandung sejak kecil. Justeru kasih sayang ini amat mereka dambakan. Memang benar kasih sayang kita tidak akan dapat menyamai kasih sayang ayah kandung mereka sendiri. Tetapi yakinlah kasih sayang kita yang tulus ikhlas yang lahir dari hati yang kudus pasti dapat memberikan kepuasan pada mereka. Kita tidak rugi apa-apa pun. Firman Allah s.w.t;

"Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: "Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya" dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha kuasa lagi Maha Bijaksana." (Maksud Surah Al-Baqarah : 220)

Di Sarawak, Kompleks di Sibu yang bakal siap pada tahun hadapan ini adalah yang ketiga yang terbesar. Yang pertama KKLT di Kuching di atas tanah seluas 12 ekar boleh menampung seramai 150 orang anak. Di Miri, Kompleks Kebajikan Hamidah Yakub seluas 10 ekar booleh menapung seramai 200 orang anak. Manakala di Sibu dikawasan seluas 13 ekar akan menampung seramai 300 orang anak.



No comments:

Post a Comment