Wednesday, May 5, 2010

TIGA DOSA YANG TIDAK DIAMPUNKAN!

Pagi ni sempat late breakfast dengan akh Roslan. Saya berkongsi ilmu yang saya dapat dari kuliah subuh yang saya dengar dari Ustaz Haji Azmi di Masjid Gita beberapa minggu lepas. Tentang salah satu diantara beberapa doa Rasulullah s.a.w. kepada Allah s.w.t tentang umat baginda. Iaitu doa baginda agar Allah s.w.t tetap menerima taubat umat baginda sekalipun nyawa mereka telah sampai ke halkum. Maklumlah ujian kepada umat Nabi Muhammad pada akhir zaman amat berat. Adakah doa Nabi ini dimakbulkan?

Menurut Ustaz Haji Azmi, semua dosa umat Nabi Muhammad pasti akan dimakbulkan asalkan dia bertaubat sungguh-sungguh dengan taubat nasuha. Adapun berkenaan dosa yang tidak akan Allah s.w.t terima dan ampunkan hanya tiga sahaja.

Lalu kita tertanya-tanya apakah tiga dosa tersebut. Adakah Allah s.w.t. akan ampunkan dosa-dosa seperti syirik? Bagaimana dengan berzina? Membunuh orang? Mencuri? Menderhaka kepada ibu bapa? Berdosa kepada sesama muslim?

Jawabnya; semua dosa-dosa itu pasti akan diampunkan oleh Allah s.w.t! Subhanallah! Bayangkan dosa membunuh, minum arak, zina dan syirik boleh diampunkan! Tetapi apakah pula tiga dosa yang tidak akan diampunkan itu?

Menurut Ustaz Haji Azmi, tiga dosa yang tak diampunkan itu adalah pertamanya dosa keengkaran dan kesombongan iblis yang enggan sujud kepada Nabi Adam a.s. apabila diperintahkan Allah s.w.t berbuat demikian. Keduanya dosa Qabil yang membunuh adiknya Habil. Ketiganya dosa orang-orang yahudi yang terlibat membunuh Nabi-nabi mereka seperti Nabi Zakaria a.s.

Ternyata umat Nabi Muhammad s.a.w. amat beruntung kerana Allah s.w.t akan menerima taubat kita selagi kita mahu bertaubat.

Berbalik kepada persoalan sama ada Allah s.w.t. makbulkan doa Nabi Muhammad di atas, maka menurut Ustaz Haji Azmi, taubat tersebut akan diterima sekalipun pada penghujung nyawa! Subhanallah!

Namun janganlah ini dijadikan tiket kepada kita untuk terus melakukan maksiat dan bergelumang dengan dosa. Sebaliknya hendaklah kita banyak-banyak beristifar dan memohon keampunannya sepanjang masa sehinggalah akhirnya kita kembali kepadaNya.

1 comment: