Monday, May 10, 2010

Iktibar dari cerita Doraemon


Terus-terang saya adalah antara peminat setia Doraemon. Saya mula meminati komik karya Fujio F. Fujiko ini sejak tahun 1993 lagi apabila saya pertama kali melihat Kartunnya di TV1. Semalam saya sempat lagi menonton satu lagi segmen di dalam Kartun Doraemon melalui NTV7. Lama juga tak berkesempatan menontonnya.

Kisahnya berkenaan dengan Nobita yang ingin tahu apakah perkara yang dibimbangkan oleh Sizuka. Lalu Doraemon meminjamkan alat yang membolehkan Nobita berkomunikasi dengan Sizuka dan Sizuka terpaksa menjawabnya. Rupa-rupnya Sizuka bimbangkan dirinya yang semakin berisi dan takut apabila dewasa nanti menjadi gemuk. Nobita memberitahunya usah bimbang dan pergi ke masa depan menggunakan mesin masa untuk mengambil gambar Sizuka apabila dewasa. Ketika itu Sizuka sedang berada di Amerika Syarikat. Sizuka berasa lega melihat gambarnya pada masa depan yang masih cantik itu.

Setelah membantu Sizuka, Nobita ingin pula mengetahui apakah kebimbangan rakan-rakannya yang lain. Kebimbangan Sunio dan Giant tak payah diceritakan sebab merapu. Kemudian Nobita menggunakan alat tersebut untuk mengetahui kebimbangan Takesugi, salah seorang rakan mereka termasuk Sizuka yang bukan sahaja pandai tetapi juga kacak.

Rupa-rupanya Takesugi bimbang kemungkinan dia dan keluarganya akan berpindah ke Amerika Syarikat. Pada mulanya Nobita gembira dengan khabar angin ini. Ia merasakan jika Takesugi berpindah ke AS maka peluangnya untuk berkahwin Sizuka pada masa akan datang lebih cerah. Tetapi apabila memikirkan yang gambar Sizuka yang diambilnya pada masa depan itu di Amerika Syarikat ia menjadi gelabah. Ia terbayang bagaimana Sizuka dan Takesugi bertemu di AS dan menjalin percintaan. Hancurlah impian Nobita untuk mengahwini Sizuka.

Kebetulan ketika itu Sizuka pula datang ke rumah Nobita. Ketika itu Nobita dan doraemon sedang melihat kebimbangan Takesugi melalui alat itu. Ketika itulah Sizuka turut menyaksikan jawapan Takesugi melalui mesin itu. Sizuka berdukacita. Maklumlah terkenangkan akan kehilangan seorang kawan baik.

Namun akhirnya Nobita tersedar betapa dia tidak perlu bimbang tentang apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Sebaliknya dia haruslah berusaha bersungguh-sungguh dari hari ini. Jika dia mahu Sizuka suka kepadanya maka dia hendaklah menjadi orang yang terbaik dari sekarang. Tiada gunanya bersedih untuk sesuatu pada masa hadapan yang masih belum tahu.

Apa pengajarannya? Tontonlah Doraemon.

No comments:

Post a Comment