Monday, April 26, 2010

Tak mengapa tak sempat solat sunat tengah malam

Pada suatu malam, saya memberitahu isteri yang saya hendak mengikuti Qiyamulail di Masjid. Malangnya setelah bangun menjelang subuh, akibat terlalu penat saya tidak sempat mendirikan satu apa pun solat sunat. Di dalam keadaan dukacita dan lemah longlai saya gagahkan juga membawa isteri memandu ke masjid untuk solat subuh. Elok sahaja selesai parking sayup-sayup terdengar pula bilal melaungkan qamat untuk solat subuh. Dengan rasa yang penuh kecewa kerana tak sempat pula mendirikan solat sunat tilawah masjid, kaki terus melangkah ke saf solat. Alhamdulillah masih sempat bertakbir bersama Imam.

Usai solat, kami dihidangkan dengan kuliah subuh. Namun pagi itu, hati yang berduka sedikit kerana gagal mengikuti Qiyamullail, tiba-tiba terubat apabila Imam yang mempengerusi Kuliah subuh dengan ayat-ayat penuh inspirasi yang membuat hati kembali berbunga takjub mengkagumi rahmat kasih-sayang Allah s.w.t.

Imam tersebut membuka kata-kata memanjat sepenuh kesyukuran kerana semua jemaah masih lagi dipanjangkan umur sehingga berjaya menunaikan solat subuh secara berjemaah. Beliau mengingatkan betapa semua orang yang sempat mendirikan solat subuh seolah-olah dia telahpun mendirikan solat sunat seluruh malamnya.

Subhanallah saya tersentak kerana teringatkan Hadis dari Uthman bin Affan r.a. Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang solat Isya secara berjemaah akan mendapat pahala seolah-olah bangun separuh malam dan sesiapa yang solat subuh berjemaah akan mendapat pahala sepenuh malam" (riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w. : "Andaikata mereka mengetahui, tentang pahala yang ada di dalam solat Isya dan subuh, nescaya mereka mendatangi kedua waktu itu dengan berjemaah walaupun dengan merangkak kalau mereka lemah." (Riwayat Bukhari)

Dari Jundub bin Abdullah berkata Rasulullah s.a.w.: "Sesiapa yang menunaikan solat subuh, maka dia berada dalam perlindungan Allah."

Bersabda Rasulullah s.a.w.: "Para malaikat malam bertukar dengan malaikat siang dan mereka berhimpun di langit pada waktu solat subuh dan asar, mereka kemudian naik ke langit ALLAH bertanya mereka dan Dia lebih mengetahui. Bagaimana kamu tinggalkan hambaKu?' Para malaikat menjawab: Kami tinggalkan mereka dalam keadaan menunaikan solat dan kami bertemu mereka juga dalam keadaan menunaikan solat, ampunkanlah mereka pada hari pembalasan. (Muttafaqun Alaih)

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Tidak akan masuk neraka seorang yang menunaikan solat sebelum terbit matahari dan sebelum tenggelam matahari." (riwayat Muslim)

Saya mula mendengar Kuliah subuh pagi itu dengan airmata bergenang terkenangkan rahmat dan kasih sayang Allah pada hambanya yang lemah seperti saya masih layak mendapat pahala mendirikan solat seluruh malam walaupun hanya solat subuh berjemaah. Tak perlulah komen panjang-panjang. Marilah kita berusaha sekuat mungkin setiap subuh ke masjid berjemaah kerana ia jauh lebih mudah berbanding bersolat sepanjang malam. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment