Sunday, March 28, 2010

Penting tunjukkan imej terbaik Islam

Pada 28 Mac lalu, saya dan isteri berkesempatan menghadiri walimah seorang adik saudara kita yang pernah saya Islamkan. Pada hari bahagia itu, saya dapat merasakan kebahagiaan kedua-dua mempelai sewaktu berkesempatan menepung tawar keduanya. Syukurlah kerana adik tersebut dijodohkan Allah s.w.t dengan seorang suami yang baik dan dapat terus membimbingnya. Semoga keduanya dipanjangkan jodoh ke akhir hayat. Amin...

Sepanjang walimah tersebut yang paling tidak saya lupakan adalah dapat duduk bersama-sama dengan bapa pengantin perempuan. Pada mulanya saya berasa kecut juga kerana takut dimarah-marah kerana telah mengislamkan anak perempuan kesayangannya. Maklumlah sibapa bekas anggota tentera yang berbadan tinggi dan sasa. Takut-takut dia mengamuk, aduh meletuplah badan saya..

Beliau memberitahu saya dia tidak lagi berasa keberatan melihat anaknya memeluk Islam kerana dia tetap menjadi anaknya yang baik. Masih menghormati dan menyayangi ibubapanya. Tambahan pula melihat ada orang Islam yang melayan anaknya dengan begitu baik dan layanan orang Islam terhadap keluarga mereka begitu baik seolah-olah tidak ada jurang agama yang menghalang persaudaraan ini.

Beliau memberitahu saya betapa sebelum ini pun ada dua adik beradiknya juga telah memeluk Islam. Justeru Islam bukanlah asing buatnya. Kemudian apabila saya memberitahunya latar belakang saya, dia kagum kerana mengenali ramai saudara-saudara saya di kampung dan kami berasa betapa kami seperti ada persaudaraan erat. Apatah lagi dengan kemampuan saya berjaya di dalam kerjaya dan berdakwah.

Sebelum berpisah sempat juga kami bertukar-tukar no telefon dan saling mengharapkan datang berkunjung ke rumah antara satu sama lain suatu hari nanti. Di dalam hati saya menambahkan keyakinan bahawa tidak mustahil orang Iban menerima Islam. Sama sekali tidak mustahil. Hanya kita yang telah Islam hendaklah sentiasa mempamerkan imej terbaik Islam setiap masa. kita mungkin tidak mampu berdakwah secara langsung untuk menarik mereka kepada Islam. Tetapi sekurang-kurangnya jika mereka melihat perangai, kelakuan dan akhlak kita yang baik, sekurang-kurangnya ia dapat memberi persepsi baik.

Saya bersyukur dengan apa yang Allah sw.t. telah perlihatkan kepada saya. Saya mendoakan agar si bapa, ibu dan adik beradiknya yang lain juga akan memjadi muslim suatu hari nanti. Amin ya rabbal alamin.

No comments:

Post a Comment