Tuesday, December 29, 2009

DUA BULAN MENGHILANG?


Bayangkan apabila sesekali di dalam hidup kita hilang segala-galanya kecuali diri kita sendiri kerana kembali bertemu allah swt. Tiada akhbar. tiada radio. tiada Radio. Tiada akses internet. tiada apa-apa berita luar. Jika adapun kita tidak memperdulikannya. Yang ada kita hanya bersama Allah s.w.t.


Ia adalah perasaan paling indah. Kita hanya ingin berbakti terus menerus kepada Allah s.w.t. Setiap saat dan detik jadual kita hanya memenuhi kewajipan dan kerfarduan kita kepadaNya. Dan sebagai balasan kita diberikan ganjaran samada secara tunai di dunia atau syurga al-Jannah yang menanti.


Itulah berlaku kepada saya sejak 29 hb Oktober 2009 sehinggalah 19 hb Disember 2009 apabila segala hajat dan cita-cita untuk 'dijemput' sebagai tetamu Allah bersama isteri tercinta dimakbulkan.


Kami telah terpilih sebagai jemaah Haji Malaysia bersama 36,000 orang jemaah tambahan 10,000 lagi yang diluluskan oleh kerajaan Arab Saudi. Disebalik kebimbangan antarabangsa berhubung pendamik H1N1 jutaan hamba Allah memenuhi tanah suci menyahut panggilan Allah.


Memang terlalu banyak pengalaman cerita manis, suka duka, lucu, ajaib dan sebagainya. Tetapi biarlah ia menjadi kenangan peribadi saya dan isteri. Saya hanya mampu mengucapkan syukur kerana telah terpilih pada tahun 1430Hijrah ini. Dan keduanya saya mendoakan agar kami dipanjangkan umur serta dimurahkan rezeki dapat pergi lagi.

Tuesday, October 13, 2009

Panggilan terhebat

Apakah panggilan yang paling saya rindukan? Panggilan untuk melancong ke Kota Kinabalu dan mendaki kaki gunung tersebut? Panggilan menerima bintang kebesaran kerajaan? Panggilan untuk berhari Raya di Kota Bharu? Memang semua itu mengembirakan saya dan telah saya capai alhamdulillah.
Tetapi 11 tahun saya menunggu satu penggilan yang sangat-sangat saya rindukan. Panggilan Allah untuk mengerjakan Fardhu Haji di bumi haram.
Alhamdulillah setelah sekian lama mengharap dan terus mengharap sebagai calon simpanan, akhirnya pada 13 Oktober 2009, saya dan isteri telah disahkan sebagai calon Haji terpilih. Ini sekaligus membungakan kembali harapan untuk melihat kembali bumi Mekkah dan Madinah yang sekian lama tidak dikunjungi.
Pagi 13 Oktober Wan Nor menelefon memberitahu kerani sekolahnya yang sebelum ini telah disahkan tarikh penerbangannya telah ditukarkan status kepada calon menunggu. Bimbang kerana tiada hitam putih tentang status kami, Wan Nor mendesak saya pergi mendapatkan pengesahan di Pejabat Tabung Haji pagi ini juga.
Bimbang perkara yang sama, saya pun terus ke Pejabat tersebut dan menyemak status. Dan alangkah bahagianya bila mendapati nama kami disahkan akan pergi pada 29 Novemberi 2009.
Kini saya dan isteri sedang menghitung hari dan memperbanyakkan doa agar semuanya berjalan lancar. Kami sangat merindukan kaabah dan tanah Madinah yang ada Rasulullah saw di dalammnya. Ya Allah kabulkanlah niat suci kami...Amin ya rabbal alamin.

Hasrat Datu Misnu

Pada suatu hari, sejurus selesai salah satu program HIKMAH, secara tiba-tiba Pengarah Jabatan Agama Islam memberitahu saya akan hasratnya untuk membawa saya menyertai JAIS. Saya agak kaget dan terdiam apakah kata-kata yang terbaik untuk menjawab tawaran tersebut. Beliau meminta saya memberi jawapan segera dan beliau akan menguruskan sendiri segala keperluan formaliti untuk membawa saya masuk ke dalam JAIS.
Saya akui bukan mudah untuk membuat keputusan ketika itu. Saya telah ada kerjaya sendiri dan firma guaman yang masih aktif serta rutin kehidupan yang bagi saya sebenarnya telah memadai. Justeru saya meminta tempoh beberapa hari untuk memberi jawapan.
Saya meminta pandangan rakan-rakan rapat. Ada yang memberi jawapan positif. Dan ramai juga yang memberi pandangan sebaliknya. Namun saya segera mendapatkan reaksi ahli keluarga saya termasuk isteri dan ibu bapa.
Akhirnya saya beristikarah kemudian membuat keputusan untuk ke JAIS menaburkan bakti sebagai anak Sarawak yang cinta pada bumi bertuah in.
Pada 5 Jun 2008 saya melaporkan diri dengan disambut senyum lebar Datu Misnu, Pengarah JAIS yang penuh mengharapkan kehadiran saya. Saya tidak pasti apakah yang ada pada diri saya yang menarik perhatian beliau.
Saya melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan. Saya menghadiri setiap mesyuarat,program dan aktiviti yang diadakan sehingga saya tidak sedar masa berlalu begitu pantas.
Namun demikian saya sedar sepanjang kehadiran saya di JAIS saya telah belajar sesuatu. Secara zahir peranan saya sebagai Ketua Pendakwa hanya terikat dengan tugas-tugas Pendakwaan. Tetapi secara tersirat saya juga belajar mengenali pelbagai potensi sebenar diri saya.
Saya cukup ingat ketika Datu Misnu mahu membawa saya ke JAIS beliau pernah menasihatkan agar mempelajari budaya berorganisasi, memimpin sesebuah bahagian, mengutamakan integriti dan kualiti dan mengenali lebih ramai manusia. Inilah perkara-perkara yang saya pelajari dan mula amalkan. Sedikit sebanyak saya percaya Datu Misnu berjaya mencapai hasratnya membawa saya ke JAIS.
Namun tanpa sedar juga saya melangkaui sasaran awal apa yang patut saya capai. Misalnya saya berjaya membawa diri secara pembaca khutbah Jumaat. Saya juga terpaksa meyakinkan diri keupayaan saya mengimamkan solat dikhalayak jemaah yang lebih ramai. Dan banyak lagi yang masih berlaku dan belum mampu saya ungkapkan.
Namun sekembalinya saya daripada bercuti Aidilfitri di Kota Bharu pada penghujung September lalu, saya dikejutkan berita yang Datu Misnu akan kembali ke tempat bertugas lamanya di Wisma Bapa Malaysia sebagai Pengarah Bahagian Pentadbiran Jabatan Ketua Menteri.
Saya berasa ia suatu kehilangan. Malah seluruh warga JAIS mempunyai perasaan yang sama. Kami hanya mampu pasrah dan mendoakan segala yang terbaik dari Allah s.w.t kepada beliau. Saya ada tempoh 8 bulan lagi untuk menamatkan kontrak....

Sunday, August 9, 2009

Penubuhan Jabatan Peguam Syariah Negeri-negeri



30 Julai-1 Ogos 2009, Ancasa Allsuites Resort & Spa, Port Dickson, Negeri Sembilan. Para pesrta Muzakarah Ketua Pendakwa Syarie seluruh Malaysia telah sebulat suara bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan Jabatan Pendakwa Syarie di semua negeri di Malaysia. Selaras dengan Pelan Tindakan Strategik JAKIM 2009-2014, semua negeri diharapkan dapat melaksanakan cadangan ini menjelang 2012. Setakat ini Selangor telahpun berjaya menubuhkan Jabatan Pendakwa Syarie yang telah berkuatkuasa sejak Jun 2009 lalu. Khabarnya negeri Perak juga akan melaksanakannya mulai September 2009.



Blue Print Rancangan Pembangunan Pendakwa Syarie Malaysia yang telah dirangka akan diperhalusi sekali lagi pada Muktamar akan datang.


Insya Allah bagi negeri Sarawak, misi ini akan dipikul dan kami akan berusaha sedaya upaya merealisasikannya ke arah memartabatkan perundangan Syariah di negeri Sarawak dan Malaysia amnya. Doakan kejayaaan kami.

Tuesday, July 28, 2009


Saya teringat cerita YB Datuk Daud Abdul Rahman pengalaman beliau bersama rakan-rakan sewaktu berbincang di dalam suatu majlis ilmu, tiba-tiba mereka membisu apabila mengkaji tafsir Surah Al-Maun. Khususnya apabila menyentuh salah satu sifat pendusta agama adalah mereka yang mengerdik anak yatim. Timbul kesedaran mereka bahawa perlu ada sebahagian masyarakat yang prihatin akan nasib anak-anak yatim. Lebih-lebih lagi ketika itu bilangan anak-anak yang menjadi yatim bertambah. Insiden ini terjadi pada awal tahun 70an.


Lantas inisiatif diambil oleh mereka dengan mendaftarkan penubuhan pertubuhan anak-anak yatim negeri Sarawak (PERYATIM). Ketika itu Ustaz Awang Pon Awang Sebon dipilih sebagai Pengerusinya. Melalui pertubuhan inilah masyarakat menyumbangkan wang dan apa-apa jug bentuk sumbangan untuk disalurkan kepada anak-anak yatim. Bantuan tidak terhad kepada wang ringgit tetapi merangkumi makanan asas seperti beras dan gula, tetapi juga kepada pelbagai yuran sekolah, pakaian serta peralatan persekolahan.


Pada tahun 1992, akhirnya sebuah Kompleks telah ditubuhkan dibawah kepimpinan YB Datuk Daud. Maka sebahagian anak-anak yang terpilih ditempatkan di Kompleks tersebut untuk dijaga dan diurus secara langsung kebajikan mereka. Kini setelah lebih 17 tahun, kita melihat bukan sahaja peranan kompleks di Kuching, tetapi di Miri telah beroperasi sejak 2 tahun lalu. Bulan September nanti, pecah tanah Kompleks di Sibu akan diberlangsung.


Sebenarnya bagi kumpulan pengasas PERYATIM, Kompleks-kompleks ini tidak pernah terbayang dibenak mereka ketika itu. Tetapi Allah s.w.t. itu Maha Berkuasa. Dia membantu usaha-usaha ikhlas mereka ini dengan memudahkan usaha-usaha murni.


Pada tahun 2005, PERYATIM telah dibubarkan sebagai sebuah Pertubuhan berdaftar di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan. Pada tahun tersebut juga, peranannya telah diambilalih oleh Lembaga Amanah Kebajikan Anak-anak Yatim Negeri Sarawak (PERYATIM) yang ditubuhkan dibawah Charitable Trust Ordinance 1992.


Pada 23hb. Julai lalu, kami telah mengadakan tahlil khas buat allahyarham Ustaz Haji Awang Pon Awang Sebon, Pengerusi pertama PERYATIM di Kompleks Kebajikan Laila Taib, Kuching. Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada 17hb Julai 2009 di Kuala Lumpur. Segala jasa beliau amat saya kagumi dan akan kenang.


Beliau sebenarnya telah banyak menabur jasa terhadap dakwah, kebajikan dan perundangan Syariah. Beliau adalah mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Sarawak. Semoga Allah s.w.t merahmati ruh beliau dan menempatkan beliau bersama-sama orang-orang yang soleh.


AL-FATIHAH

Monday, July 27, 2009

Sibuknya bandaraya Kuching

Minggu ini, Kuching memang sibuk. Sibuk yang amat dirasakan oleh setiap warganya. Ini ekoran pelbagai aktiviti yang diadakan sehingga jalanraya menjadi sesak dan polis yang mengawal lalulintas seolah-olah Kuching sedang mengalami darurat.

TV3 menganjurkan Sure Heboh selama 2 hari Sabtu dan Ahad. Semua jalan ke arah Stadium sesak. Sementara persiapan perasmian bangunan DUN yang baru disesakkan lagi dengan persiapan Sarawak Reggata. Akibatnya jalan-jalan sekitar Dun baru dan Tebingan Kuching sesak malah ada yang dilencong atau ditutup. Orangramai pula berasak-asak di semua tapak pesta. Cuaca pula panas terik dengan jerebu masih menyelubungi. Orang ramai tetap gembira berhibur dan berpesta.

Malangnya pada hari ini tiada siapapun peduli bahawa beberapa buah sekolah telah dikurantinkan. Tiada siapapun peduli jangkitan tempatan sedang menular. Angka positif juga telah mencecah 1000 orang dan sedang meningkat. Hakikatnya H1N1 kini sedang membunuh secara senyap! Perhatikan orang disebelah anda sedang demam, terbatuk dan selsema!

Sunday, July 19, 2009

KONFLIK MAK NYAH DAN PELACUR

Saya telah diundang untuk berceramah pendek dan menjadi salah seorang ahli panel di dalam Program Paralegal Nasional untuk pekerja Seks dan Mak Nyah anjuran Majlis Aids Malaysia pada 15 Julai 2009 bertempat di Samudra Hotel, Kuching. Saya diminta untuk menjelaskan kedudukan golongan Mak Nyah dan pelacur ini dari segi perundangan sivil dan Syariah.

Selain daripada dapat menyampaikan mesej tersebut, saya juga berpeluang mendengar sendiri suara hati mereka dan persepsi mereka terhadap Jabatan Agama.

Apa yang menarik perhatian saya adalah tentang kegigihan sukarelawan dan pekerja MAM membantu menegakkan apa yang disebut sebagai hak asasi dan hak kebebasan golongan tersebut sebagai warganegara dan manusia. Mereka gigih mengagih-agihkan kondom percuma dan menukar jarum suntikan kepada golongan ini atas nama menghalang penyebaran HIV dan AIDS.

Malangnya mereka tidak melihat pula kedudukan'industri' ini sendiri yang tidak sah, berdosa dan kesannya dari segi syarak. Sementara kita mahu meraikan hak-hak dan kebebasan insan kita tidak harus lupa juga had-had yang telah digariskan syarak.

Justeru tidak hairan ramai melihat usaha MAM adalah sia-sia. Bukan sahaja sukar untuk menanggani penularan AIDAS tetapi sebaliknya menghalalkan industri Mak Nyah dan pelacuran yang menjadi bibit-bibit kemusnahan manusia bertamadun. Wallahualam.

Tuesday, July 7, 2009

JENAZAH MOHAMMAD HAZZERY MOHAN DIKEBUMI SEBAGAI ORANG ISLAM

Jenazah Allahyarham Mohan Singh dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih, Batu Caves, Gombak, semalam.

SHAH ALAM 6 Julai - Jenazah Mohan Singh akan dikebumikan sebagai seorang Islam selepas Mahkamah Tinggi Sivil di sini hari ini menolak permohonan keluarganya bagi menuntut mayat pengarah seni bebas itu dari Hospital Sungai Buloh untuk dikebumikan mengikut agama asal.
Hakim Rosnaini Saub memutuskan demikian dengan alasan mahkamah menerima Sijil Akuan Masuk Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Pulau Pinang bahawa Mohan, 41, telah memeluk Islam pada tahun 1992, sebagai satu bukti yang mencukupi.
Dalam penghakiman setebal 29 muka surat itu, beliau turut menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada Mohan masih seorang Islam atau sebaliknya semasa beliau meninggal dunia.
Katanya, ia jelas mengikut Seksyen 61(3)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 serta Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.
''Tiada sebab untuk mahkamah tidak menerima bukti bahawa dia telah memeluk Islam kerana tiada apa-apa bukti menunjukkan bahawa Sijil Akuan Masuk Islam itu palsu.
"Tindakan memeluk Islam yang berlaku di luar pengetahuan pemohon itu juga bukan bererti ia tidak berlaku.
''Oleh kerana saya telah mendapati bahawa sijil itu membuktikan dia telah memeluk Islam pada 1992, hanya Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada dia masih seorang Islam atau tidak semasa kematiannya.
''Dalam keadaan ini, tindakan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia dan Ketua Pengarah Hospital Sungai Buloh yang tidak membenarkan mayat tersebut dituntut oleh pemohon dan merujuk perkara itu kepada Majlis Agama Islam Selangor (JAIS) adalah tindakan yang wajar dan munasabah,'' katanya.
Hakim Rosnaini juga menolak permohonan keluarga Mohan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu dan membatalkan perintah interim (sementara) yang sekali gus membolehkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menuntut jenazah Mohan dan dikebumikan mengikut hukum syarak.
Sebaik mahkamah membuat keputusan itu, beberapa ahli keluarga Mohan yang hadir mengikuti prosiding hari ini dilihat menangis dan berpelukan sesama sendiri.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MAIS, Rohana Hassan semasa ditemui di luar mahkamah memaklumkan, jenazah Mohan akan dituntut dari Hospital Sungai Buloh dan dikembumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buloh hari ini.
Bagaimanapun, jelas beliau, jenazah allahyarham akan diserahkan terlebih dahulu kepada keluarganya di Selayang bagi membolehkan beliau diberi penghormatan terakhir sebelum disemadikan sebagai seorang Islam.
Mohan Singh a/l Janto Singh atau nama Islamnya, Mohammad Hazzerry Mohan Abdullah meninggal dunia pada 25 Mei lalu akibat serangan jantung di rumahnya di Apartmen Harmoni, Damansara Damai, Petaling Jaya dekat sini.
Berikutan timbul perebutan serta pertikaian, MAIS telah bertindak segera memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada sebelah petang hari Mohan meninggal dunia untuk mendapatkan pengesahan status pengislamannya.
Keluarga Mohan yang diwakili peguam Rajesh Kumar pula memohon perintah injunksi sementara di Mahkamah Tinggi Sivil bagi menghalang mana-mana pihak bertindak mengeluar atau mengalihkan jenazah Mohan.
Mereka turut memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah tersebut bagi menuntut perintah bahawa keputusan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia dan Ketua Pengarah hospital itu yang menahan mayat lelaki berkenaan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung status agamanya adalah salah dan tidak sah di sisi undang-undang.
Walaupun Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan Mohan adalah seorang Islam pada 4 Jun lalu, namun MAIS tidak dapat menuntut jenazahnya berikutan perintah larangan sementara yang dikeluarkan tiga hari sebelumnya oleh Hakim Rosnaini supaya tiada pihak bertindak mengeluar atau mengalihkan mayat dari hospital itu sehingga prosiding kes tersebut selesai sepenuhnya.
__._,_.___

Monday, July 6, 2009

KEMBARA DARAT KE KINABALU


Jika ada kenangan terindah tahun ini setakat ini pastinya kunjungan saya seisi keluarga ke gunung kinabalu dengan memandu sendiri dari rumah kami di Petra Jaya Kuching. Sesungguhnya ia adalah perjalanan terindah kerana ia mengeratkan kasih sayang kami sesama ahli keluarga di samping merasai nikmat perjalanan jauh, paling jauh yang pernah saya bawa merentasi dua negeri dan sebuah negara jiran.


Kami bertolak petang 29 hb. Mei 2009 dan akhirnya selamat kembali ke Kuching pada 7 hb. Jun 2009. Perjalanan kami hanyalah menggunakan kenderaan Myvi 1.3 kami. Kami bermalam di Sibu (29hb. Mei), Miri (30 hb. Mei) dan Kota Kinabalu (31hb. Mei), Kundasang (1-2 Jun), Kota Kinabalu (3-4 Jun), Limbang (5 Jun) dan Sibu (6 Jun).


Saya berasa ini hanyalah permulaan bagi ekspedisi keluarga kami selanjutnya. Kami akan berusaha lagi pada tahun hadapan insya Allah pergi sehingga ke Semporna khususnya Pulau Sipadan.

Wednesday, April 15, 2009

Islam perlu didakwah ke rumah-rumah panjang.


14 April 2009, Saya berpeluang untuk ke sebuah rumah panjang di Pelanduk, Betong Sarawak. Perjalanan lebih kurang empat jam dari Kuching melalui jalan Pan-Borneo. Rumah panjang sepanjang 19 bilik berussia lebih 100 tahun, sedikit sebanyak mengingatkan saya tentang jati diri sebagai seorang anak Iban.
Suatu pengamatan saya adalah walaupun mereka mengaku telah beragama kristian tetapi mereka tetap tidak dapat meninggalkan aqidah lama mereka yang berpegang kepada bermacam-macam kepercayaan tradisi yang bertunjangkan paganisme.
Kebetulan saya menghadiri majlis kematian salah seorang ahli keluarga saya, (adik kepada seorang ipar saya) yang menyedarkan betapa sebenarnya kepercayaan mereka kepada Kristian amat goyah sekali. Misalnya sewaktu sedang bersembahyang, ketika paderi sedang membacakan kalimat "Enggau nama Apai, Anak enggau Ruh Al-Kuddus (Dengan nama Bapa, Anak dan Ruh A-Kudus)", seorang lelaki menyampuk secara berbisik kepada saya, kenapa hanya Tuhan Bapa dan anak sahaja di sebut? Kenapa Tuhan Akik dan inik (Datuk dan Nenek )tidak disebut? Saya hanya mampu menjawab dengan senyuman.
Di samping itu beberapa adat Iban seperti makan besar, minum arak dan beer sewaktu menunggu mayat, meratap mayat dan sebagainya masih diamalkan. Itu tidak termasuk amalan mayat membawa pelbagai pemai' (barang-barang unuk dibawa mati seperti wang, garam, gula dll) di dalam keranda yang bertentangan dengan kepercayaan Kristian sendiri.
Hati saya berbunga dengan harapan. Alangkah baiknya jika suatu hari nanti dapat bercakap tentang kesilapan konsep Trinity di sini suatu hari nanti. Betapa ia tidak logik dan bercanggah pula dengan semua konsep Kristian itu sendiri. Saya percaya dan sangat-sangat percaya dengan kerapuhan pegangan mereka terhadap Kristian boleh membuka mereka kepada Islam.
Mereka menganut Kristian hanya secara ikutan bukan atas kefahaman. Justeru kita boleh membawa Islam dan memperkenalkan kebenaran Islam.
Namun kerana ini hanya kunjungan pertama, insya Allah mudah-mudahan selepas ini ada kunjungan susulan. Insya-Allah. Wallahu'alam.

Saturday, April 4, 2009

Khutbah di dalam Bahasa Iban

Saya tertanya-tanya pernah atau tidak di mana-mana di negeri Sarawak atau di Malaysia khutbah Jumaat dibuat di dalam bahasa Iban. Setakat yang saya sendiri tahu - tidak pernah. Mungkin apa yang bertanya untuk apa khutbah itu perlu di dalam Bahasa Iban. Mungkin kalau di sesuatu mukim yang majoriti penduduk mslimnya beragama Islam ianya tidak mustahil. Atau sekiranya terdapat ramai makmun berketurunan Iban hadir di dalam solat Jumaat.

Namun bagi seorang yang berlatarbelakang pendidikan sekular seperti saya (LLB.Hons) dan berketurunan Iban apabila saya ditugaskan menjadi Khatib ia sangat penting. Saya pernah memberitahu saudara Abd. Wahab Ling di Islamic Information Centre, kalau lah saya perlu dipanggil menjadi khatib, saya hanya akan datang sekiranya khutbah itu dibuat dalam bahasa Iban. Maklumlah khutbah diIIC diwajibkan disampaikan di dalam bahasa Ingeris.

Saya berasa adalah tidak adil sementara Masih ramai ahli-ahli agama atau sekurang-kurangnya Ustaz-ustaz lain yang lebih layak menjadi khatib tetapi orang berpendidikan sekular seperti saya masih diharapkan untuk menjadi khatib.

Namun sekurang-kurang permintaan saya itu ditunaikan semalam pada 3 April 2009, buat pertama kalinya saya dapat juga berkhutbah di dalam bahasa Iban meskipun hanya untuk khutbah kedua. Setakat ini tidak apa komplen tentang perkara itu. Saya berasa puas kerana para makmum nampaknya meskipun berkerut dahi mendengar khutbah bahasa Iban tetapi mereka nampaknya berusaha memahami tiap patah yang diucapkan melalui skrin yang dipaparkan yang memaparkan terjemahan di dalam Bahasa Inggeris. Sekurang-kurang yang mereka terpaksa memahami bahasa Iban sepertimana sukarnya seorang berpendidikan sekular seperti saya perlu berkhutbah dengan bahasa Arab dan Inggeris.

Entahlah! Adakah saya seorang yang keras kepala?