Tuesday, July 28, 2009


Saya teringat cerita YB Datuk Daud Abdul Rahman pengalaman beliau bersama rakan-rakan sewaktu berbincang di dalam suatu majlis ilmu, tiba-tiba mereka membisu apabila mengkaji tafsir Surah Al-Maun. Khususnya apabila menyentuh salah satu sifat pendusta agama adalah mereka yang mengerdik anak yatim. Timbul kesedaran mereka bahawa perlu ada sebahagian masyarakat yang prihatin akan nasib anak-anak yatim. Lebih-lebih lagi ketika itu bilangan anak-anak yang menjadi yatim bertambah. Insiden ini terjadi pada awal tahun 70an.


Lantas inisiatif diambil oleh mereka dengan mendaftarkan penubuhan pertubuhan anak-anak yatim negeri Sarawak (PERYATIM). Ketika itu Ustaz Awang Pon Awang Sebon dipilih sebagai Pengerusinya. Melalui pertubuhan inilah masyarakat menyumbangkan wang dan apa-apa jug bentuk sumbangan untuk disalurkan kepada anak-anak yatim. Bantuan tidak terhad kepada wang ringgit tetapi merangkumi makanan asas seperti beras dan gula, tetapi juga kepada pelbagai yuran sekolah, pakaian serta peralatan persekolahan.


Pada tahun 1992, akhirnya sebuah Kompleks telah ditubuhkan dibawah kepimpinan YB Datuk Daud. Maka sebahagian anak-anak yang terpilih ditempatkan di Kompleks tersebut untuk dijaga dan diurus secara langsung kebajikan mereka. Kini setelah lebih 17 tahun, kita melihat bukan sahaja peranan kompleks di Kuching, tetapi di Miri telah beroperasi sejak 2 tahun lalu. Bulan September nanti, pecah tanah Kompleks di Sibu akan diberlangsung.


Sebenarnya bagi kumpulan pengasas PERYATIM, Kompleks-kompleks ini tidak pernah terbayang dibenak mereka ketika itu. Tetapi Allah s.w.t. itu Maha Berkuasa. Dia membantu usaha-usaha ikhlas mereka ini dengan memudahkan usaha-usaha murni.


Pada tahun 2005, PERYATIM telah dibubarkan sebagai sebuah Pertubuhan berdaftar di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan. Pada tahun tersebut juga, peranannya telah diambilalih oleh Lembaga Amanah Kebajikan Anak-anak Yatim Negeri Sarawak (PERYATIM) yang ditubuhkan dibawah Charitable Trust Ordinance 1992.


Pada 23hb. Julai lalu, kami telah mengadakan tahlil khas buat allahyarham Ustaz Haji Awang Pon Awang Sebon, Pengerusi pertama PERYATIM di Kompleks Kebajikan Laila Taib, Kuching. Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada 17hb Julai 2009 di Kuala Lumpur. Segala jasa beliau amat saya kagumi dan akan kenang.


Beliau sebenarnya telah banyak menabur jasa terhadap dakwah, kebajikan dan perundangan Syariah. Beliau adalah mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Sarawak. Semoga Allah s.w.t merahmati ruh beliau dan menempatkan beliau bersama-sama orang-orang yang soleh.


AL-FATIHAH

No comments:

Post a Comment