Wednesday, March 31, 2010

MEMBENDUNG JENAYAH WARGA ASING





Seorang remaja bertemu saya di Pejabat mengadu halnya. Masalahnya dia telah hamil luar nikah dan mahu tindakan dibuat terhadap lelaki yang telah menghamilkannya kerana enggan bertanggungjawab. Masalahnya lelaki tersebut seorang bukan warganegara!

Saya merasa sedih kerana apa yang saya tak mahu bayangkan suatu masa dahulu, kita telah menjadi realiti. Betapa mudahnya gadis remaja kita terpedaya dengan kelicikan warga asing menabur janji-janji palsu. Sedangkan media sebelum ini telah melaporkan begitu ramainya gadis-gadis kita telah terpedaya.

Kita mesti menggiatkan lagi kempen "Anda bijak jauhi zina" di mana-mana. Tumpuan khususnya adalah ke sekolah-sekolah, kerana kesedaran awal mesti dibina seawal mungkin tentang ancaman zina terhadap umat Islam. Keduanya, ibu bapa mesti dingatkan perihal pentingnya mereka mengambil tahu pergerakan anak gadis mereka. Jangan sampai anak-anak terlalu bebas hidupnya sehingga akhirnya terjebak. Ketiganya pihak penguatkuasaan hendaklah memperbanyakkan operasi pencegahan. Risikan dan usaha menjejaki warga asing yang datang ke negara ini untuk tujuan jenayah hendaklah dibuat selalu. Seterusnya mengambil tindakan awal sebelum mendatangkan masalah. Keempatnya, sebagai anggota masyarakat kita hendaklah peka dengan apa yang berlaku disekeliling kita. Sentiasa ambil endah apa-apa perkara yang mencurigakan. Laporkan kepada pihak berkuasa agama atau penguatkuasa jika mensyaki sesuatu jenayah akan berlaku.

Akhirnya kelima, Kerajaan perlu mengkaji semula peraturan kemasukan warga asing yang melimpah ke negara ini terutama Afrika dan China yang menyumbang terlalu banyak masalah sosial dan jenayah. Walaupun kita mempunyai dasar menggalakkan pelancongan dan menerima masuk para pelajar asing tetapi kita mesti mempunyai syarat-syarat dan peraturan yang lebih berkesan memastikan warga asing ini tidak menyalahgunakan kebenaran masuk yang diberikan. Kaji semula undang-undang dan peraturan sedia ada. Kaji dan pinda! Insya allah kita dapat menyelamatkan umat Islam kita.

Sunday, March 28, 2010

Penting tunjukkan imej terbaik Islam

Pada 28 Mac lalu, saya dan isteri berkesempatan menghadiri walimah seorang adik saudara kita yang pernah saya Islamkan. Pada hari bahagia itu, saya dapat merasakan kebahagiaan kedua-dua mempelai sewaktu berkesempatan menepung tawar keduanya. Syukurlah kerana adik tersebut dijodohkan Allah s.w.t dengan seorang suami yang baik dan dapat terus membimbingnya. Semoga keduanya dipanjangkan jodoh ke akhir hayat. Amin...

Sepanjang walimah tersebut yang paling tidak saya lupakan adalah dapat duduk bersama-sama dengan bapa pengantin perempuan. Pada mulanya saya berasa kecut juga kerana takut dimarah-marah kerana telah mengislamkan anak perempuan kesayangannya. Maklumlah sibapa bekas anggota tentera yang berbadan tinggi dan sasa. Takut-takut dia mengamuk, aduh meletuplah badan saya..

Beliau memberitahu saya dia tidak lagi berasa keberatan melihat anaknya memeluk Islam kerana dia tetap menjadi anaknya yang baik. Masih menghormati dan menyayangi ibubapanya. Tambahan pula melihat ada orang Islam yang melayan anaknya dengan begitu baik dan layanan orang Islam terhadap keluarga mereka begitu baik seolah-olah tidak ada jurang agama yang menghalang persaudaraan ini.

Beliau memberitahu saya betapa sebelum ini pun ada dua adik beradiknya juga telah memeluk Islam. Justeru Islam bukanlah asing buatnya. Kemudian apabila saya memberitahunya latar belakang saya, dia kagum kerana mengenali ramai saudara-saudara saya di kampung dan kami berasa betapa kami seperti ada persaudaraan erat. Apatah lagi dengan kemampuan saya berjaya di dalam kerjaya dan berdakwah.

Sebelum berpisah sempat juga kami bertukar-tukar no telefon dan saling mengharapkan datang berkunjung ke rumah antara satu sama lain suatu hari nanti. Di dalam hati saya menambahkan keyakinan bahawa tidak mustahil orang Iban menerima Islam. Sama sekali tidak mustahil. Hanya kita yang telah Islam hendaklah sentiasa mempamerkan imej terbaik Islam setiap masa. kita mungkin tidak mampu berdakwah secara langsung untuk menarik mereka kepada Islam. Tetapi sekurang-kurangnya jika mereka melihat perangai, kelakuan dan akhlak kita yang baik, sekurang-kurangnya ia dapat memberi persepsi baik.

Saya bersyukur dengan apa yang Allah sw.t. telah perlihatkan kepada saya. Saya mendoakan agar si bapa, ibu dan adik beradiknya yang lain juga akan memjadi muslim suatu hari nanti. Amin ya rabbal alamin.

Saya tidak tahu apa agama saya?

Itulah dilema seorang gadis remaja berumur 16 tahun apabila dia dan guru tingkatannya datang ke rumah pada suatu petang ke rumah saya. Pada awalnya saya fikir, masalah ini mudah saya. Namun setelah mendengar dan bertanya lanjut, saya akur masalah remaja ini cukup rumit, cukup sukar dan terlalu rumit.

Anak gadis ini berketurunan Iban berasal dari Ulu Sebuyau, daerah Simunjan Sarawak. Ibu dan bapanya memeluk Islam namun kemudiannya telah keluar agama. Kini kedua-duanya telah memeluk agama Kristian Roman Khatolik dan kembali ke kehidupan sebelum Islam.

Anak gadis ini berasa dirinya tersepit antara kekeliruan kehidupan Kristian kedua ibu bapanya dengan dirinya yang berasakan dirinya adalah seorang Islam. Dia tinggal di sekolah berasrama dan hanya balik apabila hujung minggu tertentu. Setiap kali balik ke rumah konfliks diri akan berlaku apabila ibunya menghidangkan lauk tidak halal termasuk khinzir. Ibu dan bapanya sendiri telah lama kembali menjamah makanan-makanan tidak halal tersebut. Begitu juga keduanya telah lama meninggalkan solat sebaliknya telah pergi bersembahyang di gereja berhampiran.

Gadis ini berstatus Islam pada surat beranak dan kad pengenalannya. Demikian juga kedua-dua adik lelakinya di sekolah rendah masih berstatus Islam. Malangnya kehidupan di rumah jauh dari hidup muslim.

Dengan status dibawah umurnya dan masih disara sepenuhnya ibu bapanya, saya tidak mampu memberikan jalan keluar terbaik buatnya. Cuma saya mencadangkan kepada guru kelas tersebut mencari keluarga angkat buat anak gadis ini. Bimbing dan bantulah dia kembali kepada kehidupan Islam.

"Ya Allah, aku mengadu pada Mu akan kelemahan ku. Aku memohon dan merayu padaMu agar anak ini diberikan taufiq dan hidayahMu. berikanlah kekuatan padanya agar tetap pada aqidah Islam. Bantulah kami menyelamatkannya. Hanya padaMu kami memohon dan meminta. kabulkanlah Ya Allah. Amin ya Rabbal alamin."

Tuesday, March 16, 2010

Apa istimewanya kokpit pesawat?







14 Mac 2010 mungkin tarikh paling mengembirakan buat Aiman. Dia selalu sangat hendak melihat kokpit pesawat kapalterbang walaupun selalu dapat melihatnya di dalam pelbagai buku dan Ensiklopedia. Hari ini dia berpeluang masuk di kokpit helikopter Nuri dan pesawat C135 TUDM kerana Pengkalan TUDM Kuching mengadakan Hari Terbuka untuk keluarga TUDM. Gambar-gambar boleh menceritakan segala-galanya....

Bayu Kundasang kembali menggamit.



Pertengahan tahun 2009, saya menjejaki kaki kali pertama ke bumi Sabah dan mendaki buku lali gunung Kinabalu. Tak sangka awal tahun ini saya kembali ke bumi gunung tertinggi di Asia Tenggara ini. 8-10 Mac saya bersama dengan Ketua Pendakwa Syarie seluruh Malaysia berkampung di Pusat Latihan Islam Kundasang JAKIM, Kundasang. Kami bermesyuarat antara lain membincangkan beberapa kertas cadangan ke arah memperkasakan Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Negeri. Banyak perbincangan dan keputusan telah dibuat. Tunggu dan lihat ajelah ye.




Apa yang boleh saya ceritakan selain mesyuarat tersebut adalah pengalaman berkelana di bumi cantik dan indah tanpa anak-anak. Ia adalah pengalaman yang tidak seronok. Bukan kerana tempat itu tetapi kerana tiadanya anak-anak sebagai teman. Apatah lagi berpisah sementara dengan isteri. Ternyata perantauan tanpa keluarga hanyalah demi tugas semata-mata. Untuk berhibur atau ketenangan minda jauh sekali.




Kini setelah banyak merantau melihat dunia Allah s.w.t yang luas, indah dan mengkagumkan, saya dapati bahawa tempat yang paling mengembirakan adalah di rumah sendiri di Kuching! Ya tempat yang paling membahagiakan ialah di rumah sendiri! Rumah teres kecil ditengah-tengah bandar sesibuk Kuching. Di rumah kecil bertentangan sebuah istana berharga lebih RM6 juta milik salah seorang YB. Rumah kecil yang ada isteri dan anak-anak!