Monday, April 26, 2010

Tak mengapa tak sempat solat sunat tengah malam

Pada suatu malam, saya memberitahu isteri yang saya hendak mengikuti Qiyamulail di Masjid. Malangnya setelah bangun menjelang subuh, akibat terlalu penat saya tidak sempat mendirikan satu apa pun solat sunat. Di dalam keadaan dukacita dan lemah longlai saya gagahkan juga membawa isteri memandu ke masjid untuk solat subuh. Elok sahaja selesai parking sayup-sayup terdengar pula bilal melaungkan qamat untuk solat subuh. Dengan rasa yang penuh kecewa kerana tak sempat pula mendirikan solat sunat tilawah masjid, kaki terus melangkah ke saf solat. Alhamdulillah masih sempat bertakbir bersama Imam.

Usai solat, kami dihidangkan dengan kuliah subuh. Namun pagi itu, hati yang berduka sedikit kerana gagal mengikuti Qiyamullail, tiba-tiba terubat apabila Imam yang mempengerusi Kuliah subuh dengan ayat-ayat penuh inspirasi yang membuat hati kembali berbunga takjub mengkagumi rahmat kasih-sayang Allah s.w.t.

Imam tersebut membuka kata-kata memanjat sepenuh kesyukuran kerana semua jemaah masih lagi dipanjangkan umur sehingga berjaya menunaikan solat subuh secara berjemaah. Beliau mengingatkan betapa semua orang yang sempat mendirikan solat subuh seolah-olah dia telahpun mendirikan solat sunat seluruh malamnya.

Subhanallah saya tersentak kerana teringatkan Hadis dari Uthman bin Affan r.a. Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang solat Isya secara berjemaah akan mendapat pahala seolah-olah bangun separuh malam dan sesiapa yang solat subuh berjemaah akan mendapat pahala sepenuh malam" (riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w. : "Andaikata mereka mengetahui, tentang pahala yang ada di dalam solat Isya dan subuh, nescaya mereka mendatangi kedua waktu itu dengan berjemaah walaupun dengan merangkak kalau mereka lemah." (Riwayat Bukhari)

Dari Jundub bin Abdullah berkata Rasulullah s.a.w.: "Sesiapa yang menunaikan solat subuh, maka dia berada dalam perlindungan Allah."

Bersabda Rasulullah s.a.w.: "Para malaikat malam bertukar dengan malaikat siang dan mereka berhimpun di langit pada waktu solat subuh dan asar, mereka kemudian naik ke langit ALLAH bertanya mereka dan Dia lebih mengetahui. Bagaimana kamu tinggalkan hambaKu?' Para malaikat menjawab: Kami tinggalkan mereka dalam keadaan menunaikan solat dan kami bertemu mereka juga dalam keadaan menunaikan solat, ampunkanlah mereka pada hari pembalasan. (Muttafaqun Alaih)

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Tidak akan masuk neraka seorang yang menunaikan solat sebelum terbit matahari dan sebelum tenggelam matahari." (riwayat Muslim)

Saya mula mendengar Kuliah subuh pagi itu dengan airmata bergenang terkenangkan rahmat dan kasih sayang Allah pada hambanya yang lemah seperti saya masih layak mendapat pahala mendirikan solat seluruh malam walaupun hanya solat subuh berjemaah. Tak perlulah komen panjang-panjang. Marilah kita berusaha sekuat mungkin setiap subuh ke masjid berjemaah kerana ia jauh lebih mudah berbanding bersolat sepanjang malam. Wallahualam.

Saturday, April 10, 2010

Kita terlalu kecil. Tak nampak pun





Saya duduk di seat 6A di dalam pesawat MAS dalam perjalanan balik ke Kuching dari Sibu. Saya melihat dari tingkap di sebelah dan melihat bagaimana pesawat kami meluncur laju. Saya melihat bagaimana keadaan pesawat meninggalkan lapangan terbang yang luas tiba-tiba menjadi kecil. Bandar Sibu yang besar tiba-tiba menjadi kecil. Hutan belantara yang luas menjadi seperti hampran permaidani hijau. Manusia langsung tidak kelihatan.

Alangkah kecil dan halusnya kita dari atas. Bayangkan Allah yang Maha Tinggi melihat kita dari pandangan yang paling atas. Firman Allah s.w.t ; " Dan bagi Allah jualah sifat yang tertinggi; Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (An-Nahl :60)
Dari ketinggian hanya 16,000 kaki dari paras laut pun kita tak kelihatan, apalah faedahnya kita sombong dan angkuh di bumi Allah ini. Bukan sahaja tak tahu malu. Memang layak pun Allah azab dan siksa di akhirat nanti, Nauzubillahi min zalik. Nabi s.a.w bersabda mafhumnya; " tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya memendam sebesar biji sawi dari sifat sombong." Firman Allah sw.t; "Aku memalingkan dari keterangan-keteranganKu orang-orang yang menyombongkan diri di muka bumi tanpa hak." (al-Araf :146) " Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang menyombong diri." (an-Nahl :23)

Justeru, janganlah sombong dan angkuh memijakkan kaki kotor kita di bumi Allah yang suci ini.



Thursday, April 8, 2010

Sarawak tanahairku




Saya pernah tertanya-tanya di manakah saya 'home town' sebenarnya? Biasanya hometown kita adalah tempat dimana kita dilahirkan. Tempat kita dibesarkan. Tempat di mana kita lazimnya bersekolah. Tempat dimana kita berumahtangga. Tempat kita mencari rezeki. tempat kita settle down bersama keluarga tersayang.

Itulah dilema diri saya. Dilahirkan di Taiping, Perak. Dibesarkan dan bersekolah di Ipoh, Perak, Sri Aman, Sarawak, Melaka dan Kuching. Menyambung pengajian tertinggi di Kuala Lumpur. Akad nikah di Kota Bharu Kelantan. Tetapi akhirnya mencari rezeki dan settle down bersama Keluarga di Kuching.

Semasa bersekolah saya teringat sewaktu perhimpunan saya selalu menyanyi lagu NegaraKu selain lagu-lagu negeri Perak, Melaka dan Sarawak. Kesemua lagu negeri ini begitu sebati dengan hati sehingga kadang-kadang saya berasa saya anak negeri bagi negeri-negeri berkenaan. Sesekali berkunjung ke Kuala Lumpur dan melintas tempat-tempat penuh nostalgia indah, terasa diri anak jati Kuala Lumpur. Saya tidak pernah tersesat di Kota metropolitan meskipun terpaksa memandu sendiri dan jalanraya atau lebuhraya sentiasa berubah-ubah.

Tetapi 7 April lalu saya mendapat jawapan sebenarnya. Home town saya sebenarnya ialah Kuching, Sarawak. Tempat saya menzahirkan kecintaan saya menabur bakti semata-mata kerana Allah s.w.t. Selepas tamat pengajian di Universiti Malaya, saya dan isteri kembali ke KUching membina kehidupan. Kini hampir 20 tahun kami di bumi kenyalang bertuah ini dan memperjuangkan matlamat kehidupan di sini.

Alhamdulillah akhirnya Allah s.w.t. memperkenankan agar sekelumit sumbangan kami dihargai akhirnya oleh 'hometown' kami. Moga-moga Allah s.w.t akan terus melimpahkan taufik dan hidayahNya kepada kami untuk terus berjuang dan mengurniakan kami Syurga al-Jannah pada akhir hayat kami. Amin Ya Rabbal alamin.