Tuesday, July 28, 2009


Saya teringat cerita YB Datuk Daud Abdul Rahman pengalaman beliau bersama rakan-rakan sewaktu berbincang di dalam suatu majlis ilmu, tiba-tiba mereka membisu apabila mengkaji tafsir Surah Al-Maun. Khususnya apabila menyentuh salah satu sifat pendusta agama adalah mereka yang mengerdik anak yatim. Timbul kesedaran mereka bahawa perlu ada sebahagian masyarakat yang prihatin akan nasib anak-anak yatim. Lebih-lebih lagi ketika itu bilangan anak-anak yang menjadi yatim bertambah. Insiden ini terjadi pada awal tahun 70an.


Lantas inisiatif diambil oleh mereka dengan mendaftarkan penubuhan pertubuhan anak-anak yatim negeri Sarawak (PERYATIM). Ketika itu Ustaz Awang Pon Awang Sebon dipilih sebagai Pengerusinya. Melalui pertubuhan inilah masyarakat menyumbangkan wang dan apa-apa jug bentuk sumbangan untuk disalurkan kepada anak-anak yatim. Bantuan tidak terhad kepada wang ringgit tetapi merangkumi makanan asas seperti beras dan gula, tetapi juga kepada pelbagai yuran sekolah, pakaian serta peralatan persekolahan.


Pada tahun 1992, akhirnya sebuah Kompleks telah ditubuhkan dibawah kepimpinan YB Datuk Daud. Maka sebahagian anak-anak yang terpilih ditempatkan di Kompleks tersebut untuk dijaga dan diurus secara langsung kebajikan mereka. Kini setelah lebih 17 tahun, kita melihat bukan sahaja peranan kompleks di Kuching, tetapi di Miri telah beroperasi sejak 2 tahun lalu. Bulan September nanti, pecah tanah Kompleks di Sibu akan diberlangsung.


Sebenarnya bagi kumpulan pengasas PERYATIM, Kompleks-kompleks ini tidak pernah terbayang dibenak mereka ketika itu. Tetapi Allah s.w.t. itu Maha Berkuasa. Dia membantu usaha-usaha ikhlas mereka ini dengan memudahkan usaha-usaha murni.


Pada tahun 2005, PERYATIM telah dibubarkan sebagai sebuah Pertubuhan berdaftar di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan. Pada tahun tersebut juga, peranannya telah diambilalih oleh Lembaga Amanah Kebajikan Anak-anak Yatim Negeri Sarawak (PERYATIM) yang ditubuhkan dibawah Charitable Trust Ordinance 1992.


Pada 23hb. Julai lalu, kami telah mengadakan tahlil khas buat allahyarham Ustaz Haji Awang Pon Awang Sebon, Pengerusi pertama PERYATIM di Kompleks Kebajikan Laila Taib, Kuching. Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada 17hb Julai 2009 di Kuala Lumpur. Segala jasa beliau amat saya kagumi dan akan kenang.


Beliau sebenarnya telah banyak menabur jasa terhadap dakwah, kebajikan dan perundangan Syariah. Beliau adalah mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Sarawak. Semoga Allah s.w.t merahmati ruh beliau dan menempatkan beliau bersama-sama orang-orang yang soleh.


AL-FATIHAH

Monday, July 27, 2009

Sibuknya bandaraya Kuching

Minggu ini, Kuching memang sibuk. Sibuk yang amat dirasakan oleh setiap warganya. Ini ekoran pelbagai aktiviti yang diadakan sehingga jalanraya menjadi sesak dan polis yang mengawal lalulintas seolah-olah Kuching sedang mengalami darurat.

TV3 menganjurkan Sure Heboh selama 2 hari Sabtu dan Ahad. Semua jalan ke arah Stadium sesak. Sementara persiapan perasmian bangunan DUN yang baru disesakkan lagi dengan persiapan Sarawak Reggata. Akibatnya jalan-jalan sekitar Dun baru dan Tebingan Kuching sesak malah ada yang dilencong atau ditutup. Orangramai pula berasak-asak di semua tapak pesta. Cuaca pula panas terik dengan jerebu masih menyelubungi. Orang ramai tetap gembira berhibur dan berpesta.

Malangnya pada hari ini tiada siapapun peduli bahawa beberapa buah sekolah telah dikurantinkan. Tiada siapapun peduli jangkitan tempatan sedang menular. Angka positif juga telah mencecah 1000 orang dan sedang meningkat. Hakikatnya H1N1 kini sedang membunuh secara senyap! Perhatikan orang disebelah anda sedang demam, terbatuk dan selsema!

Sunday, July 19, 2009

KONFLIK MAK NYAH DAN PELACUR

Saya telah diundang untuk berceramah pendek dan menjadi salah seorang ahli panel di dalam Program Paralegal Nasional untuk pekerja Seks dan Mak Nyah anjuran Majlis Aids Malaysia pada 15 Julai 2009 bertempat di Samudra Hotel, Kuching. Saya diminta untuk menjelaskan kedudukan golongan Mak Nyah dan pelacur ini dari segi perundangan sivil dan Syariah.

Selain daripada dapat menyampaikan mesej tersebut, saya juga berpeluang mendengar sendiri suara hati mereka dan persepsi mereka terhadap Jabatan Agama.

Apa yang menarik perhatian saya adalah tentang kegigihan sukarelawan dan pekerja MAM membantu menegakkan apa yang disebut sebagai hak asasi dan hak kebebasan golongan tersebut sebagai warganegara dan manusia. Mereka gigih mengagih-agihkan kondom percuma dan menukar jarum suntikan kepada golongan ini atas nama menghalang penyebaran HIV dan AIDS.

Malangnya mereka tidak melihat pula kedudukan'industri' ini sendiri yang tidak sah, berdosa dan kesannya dari segi syarak. Sementara kita mahu meraikan hak-hak dan kebebasan insan kita tidak harus lupa juga had-had yang telah digariskan syarak.

Justeru tidak hairan ramai melihat usaha MAM adalah sia-sia. Bukan sahaja sukar untuk menanggani penularan AIDAS tetapi sebaliknya menghalalkan industri Mak Nyah dan pelacuran yang menjadi bibit-bibit kemusnahan manusia bertamadun. Wallahualam.

Tuesday, July 7, 2009

JENAZAH MOHAMMAD HAZZERY MOHAN DIKEBUMI SEBAGAI ORANG ISLAM

Jenazah Allahyarham Mohan Singh dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih, Batu Caves, Gombak, semalam.

SHAH ALAM 6 Julai - Jenazah Mohan Singh akan dikebumikan sebagai seorang Islam selepas Mahkamah Tinggi Sivil di sini hari ini menolak permohonan keluarganya bagi menuntut mayat pengarah seni bebas itu dari Hospital Sungai Buloh untuk dikebumikan mengikut agama asal.
Hakim Rosnaini Saub memutuskan demikian dengan alasan mahkamah menerima Sijil Akuan Masuk Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Pulau Pinang bahawa Mohan, 41, telah memeluk Islam pada tahun 1992, sebagai satu bukti yang mencukupi.
Dalam penghakiman setebal 29 muka surat itu, beliau turut menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada Mohan masih seorang Islam atau sebaliknya semasa beliau meninggal dunia.
Katanya, ia jelas mengikut Seksyen 61(3)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 serta Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.
''Tiada sebab untuk mahkamah tidak menerima bukti bahawa dia telah memeluk Islam kerana tiada apa-apa bukti menunjukkan bahawa Sijil Akuan Masuk Islam itu palsu.
"Tindakan memeluk Islam yang berlaku di luar pengetahuan pemohon itu juga bukan bererti ia tidak berlaku.
''Oleh kerana saya telah mendapati bahawa sijil itu membuktikan dia telah memeluk Islam pada 1992, hanya Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada dia masih seorang Islam atau tidak semasa kematiannya.
''Dalam keadaan ini, tindakan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia dan Ketua Pengarah Hospital Sungai Buloh yang tidak membenarkan mayat tersebut dituntut oleh pemohon dan merujuk perkara itu kepada Majlis Agama Islam Selangor (JAIS) adalah tindakan yang wajar dan munasabah,'' katanya.
Hakim Rosnaini juga menolak permohonan keluarga Mohan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu dan membatalkan perintah interim (sementara) yang sekali gus membolehkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menuntut jenazah Mohan dan dikebumikan mengikut hukum syarak.
Sebaik mahkamah membuat keputusan itu, beberapa ahli keluarga Mohan yang hadir mengikuti prosiding hari ini dilihat menangis dan berpelukan sesama sendiri.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MAIS, Rohana Hassan semasa ditemui di luar mahkamah memaklumkan, jenazah Mohan akan dituntut dari Hospital Sungai Buloh dan dikembumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buloh hari ini.
Bagaimanapun, jelas beliau, jenazah allahyarham akan diserahkan terlebih dahulu kepada keluarganya di Selayang bagi membolehkan beliau diberi penghormatan terakhir sebelum disemadikan sebagai seorang Islam.
Mohan Singh a/l Janto Singh atau nama Islamnya, Mohammad Hazzerry Mohan Abdullah meninggal dunia pada 25 Mei lalu akibat serangan jantung di rumahnya di Apartmen Harmoni, Damansara Damai, Petaling Jaya dekat sini.
Berikutan timbul perebutan serta pertikaian, MAIS telah bertindak segera memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada sebelah petang hari Mohan meninggal dunia untuk mendapatkan pengesahan status pengislamannya.
Keluarga Mohan yang diwakili peguam Rajesh Kumar pula memohon perintah injunksi sementara di Mahkamah Tinggi Sivil bagi menghalang mana-mana pihak bertindak mengeluar atau mengalihkan jenazah Mohan.
Mereka turut memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah tersebut bagi menuntut perintah bahawa keputusan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia dan Ketua Pengarah hospital itu yang menahan mayat lelaki berkenaan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung status agamanya adalah salah dan tidak sah di sisi undang-undang.
Walaupun Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan Mohan adalah seorang Islam pada 4 Jun lalu, namun MAIS tidak dapat menuntut jenazahnya berikutan perintah larangan sementara yang dikeluarkan tiga hari sebelumnya oleh Hakim Rosnaini supaya tiada pihak bertindak mengeluar atau mengalihkan mayat dari hospital itu sehingga prosiding kes tersebut selesai sepenuhnya.
__._,_.___

Monday, July 6, 2009

KEMBARA DARAT KE KINABALU


Jika ada kenangan terindah tahun ini setakat ini pastinya kunjungan saya seisi keluarga ke gunung kinabalu dengan memandu sendiri dari rumah kami di Petra Jaya Kuching. Sesungguhnya ia adalah perjalanan terindah kerana ia mengeratkan kasih sayang kami sesama ahli keluarga di samping merasai nikmat perjalanan jauh, paling jauh yang pernah saya bawa merentasi dua negeri dan sebuah negara jiran.


Kami bertolak petang 29 hb. Mei 2009 dan akhirnya selamat kembali ke Kuching pada 7 hb. Jun 2009. Perjalanan kami hanyalah menggunakan kenderaan Myvi 1.3 kami. Kami bermalam di Sibu (29hb. Mei), Miri (30 hb. Mei) dan Kota Kinabalu (31hb. Mei), Kundasang (1-2 Jun), Kota Kinabalu (3-4 Jun), Limbang (5 Jun) dan Sibu (6 Jun).


Saya berasa ini hanyalah permulaan bagi ekspedisi keluarga kami selanjutnya. Kami akan berusaha lagi pada tahun hadapan insya Allah pergi sehingga ke Semporna khususnya Pulau Sipadan.