Sunday, January 31, 2010

Pagi ini hujan renyai-renyai. Jalan licin dan kenderaan terpaksa dipandu dengan perlahan dan berhati-hati. Mendung terus menyelubungi bumi Kuching. Barangkali itulah juga cuaca di Samarahan, Sri Aman, Sibu, Sarikei, Bintulu dan Miri. cuaca pagi ini cukup untuk menenggelamkan ingatan bahawa bulan Januari 2010 telah berlalu dan hari ini 1 Februari muncul dengan bilangan hari hanya 28. Baru tersedar (walaupun selalu baru tersedar) betapa masa berlalu begitu pantas menandakan umur kita semakin singkat. Betapa kita perlu mengejar masa bagi menyudahkan kerja-kerja kita di dunia. Betapa ruginya kita mensia-siakan waktu dengan pelbagai kerja-kerja tidak berfaedah.

Saya merasa betapa setiap hari pasti ada perubahan berlaku. Tak perlu pergi jauh hanya melihat diri kita dihadapan cermin, kita dapat melihat kita semakin berubah. Badan semakin gempal. Janggut bertambah. Helaian putih semakin bertambah dan seterusnya. Bila kita melihat isteri kita, dia pun begitu. Mungkin semakin lama semakin kurang mengancam. Maklum faktor usia. Tetapi anehnya semakin ia tua semakin kita sayang padanya dan semakin hari kita tidak mampu tiadanya bersama kita.

Melihat anak-anak lagi banyak perubahan kita lihat. Anak-anak semakin tinggi malah ada yang lebih tinggi dan lebih tegap dari kita. Tenaga mereka juga semakin kuat sementara kudrat kita semakin kurang. Kalau dulu kita bermain badminton boleh menang 15-0 di masa kurang lima minit. Sekarang kalau dapat kalah rubber game pun suatu pencapaian terbaik bagi kita.

Apabila anak kita mula meninggalkan kita kerana menyambung pelajaran barulah kita tahu apa itu sunyi. Itu kalau baru seorang anak. Bayangkan suatu hari nanti semua anak-anak kita pergi seorang demi seorang menyambung pelajaran jauh-jauh dari kita. Apalah akan terjadi kepada kita tatkala tinggal berdua suami isteri. Sukar dibayangkan. Benar sekali, masa itu emas.

Dari Ibnu Umar r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. memegang bahuku lalu ia bersabda: "Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang, atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara).

Dan adalah Ibnu umar r.a. berkata; Jika engkau berada diwaktu petang, maka janganlah engkau menunggu waktu pagi; dan apabila engkau berada diwaktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau, dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau. (Riwayat Imam Bukhari)

Monday, January 25, 2010

Rumahtangga Syurga

Saya banyak mengendalikan kes-kes rumahtangga. Sebagai profesional mudah bagi saya memberikan nasihat dan jalan keluar kepada mereka yang buntu menghadapi krisis rumahtangga. Namun, sejak kebelakangan ini saya diuji dengan kes-kes serupa tetapi melibatkan orang-orang yang saya kenal rapat dan selama ini selalu ada bersama. Dan saya akui cukup sukar untuk menjadi profesional apabila ia melibatkan kawan-kawan dan kerabat rapat sendiri. Ditelan mati emak dibuang mati bapa.

Saya sentiasa terpengaruh dengan emosi sehingga kes-kes yang biasanya saya suruh bercerai tetapi saya tetap pertahankan kerana merasakan saya masih boleh menyelamatkan keadaan. Namun akhirnya saya akur kerana ia telah menjadi Qadar Allah s.w.t dan sebagai hamba saya tahu setakat itulah kemampuan saya.

Krisis rumahtangga bukanlah terhad kepada masyarakat awam tertentu. Ia tidak mengenal sesiapa malah ia boleh berlaku kepada mereka yang daripada latarbelakang agama sekalipun. Bagi yang tidak mempunyai latarbelakang agama atau tiada asas-asas agama apatah lagi. Krisis rumahtangga ini ibarat kanser di dalam masyarakat. Kita tidak tahu asal usulnya, tahu-tahu ia sudah tidak dapat lagi diubati.

Bayangkan seseorang yang telah hidup suami isteri selama berbelas-belas tahun sehingga telah mempunyai anak dara atau bujang boleh mengaku tidak pernah rasa cinta terhadap pasangannya. Setelah bertahun-tahun ia boleh mengaku pasangan tidak romantis. Setelah bertahun-tahun menjadi pasangan yang setia kepada yang satu tetapi esoknya cinta boleh beralih arah.

Cabaran menjadi suami juga bukan mudah. Bayangkan setelah bertahun-tahun bersama isteri tentulah isteri kita semakin lanjut usianya. Kulit tidak lagi halus mulus. Tidak lagi licin dan mula berkedut. Tiba-tiba ada pula anak dara yang tahu tentang statusnya tetapi masih lagi tergedik-gedik menggodanya. Bukan sedikit lelaki yang tertewas. Inilah bibit-bibit krisis.

Saya pernah berasa kecewa apabila terpaksa menanggani kemelut rumahtangga dikalangan rakan-rakan yang zahir dilihat tidak sepatutnya mengalami krisis seumpama ini. Namun sekali lagi saya akur dengan Qadar Allah s.w.t. Tidak semua manusia sempurna. Saya sendiri juga tidak sempurna. Kita tidak akan terlepas dari kesilapan dan kesalahan. Syaitan sentiasa berada disekeliling kita untuk menyesatkan kita. Syaitan tidak pernah berhenti dan tidak akan berputus asa. Justeru kita tidak boleh berhenti melawan syaitan. Tidak tidak boleh berputus asa mengharapkan keampunan allah. Kita tidak boleh berputus asa mengharapkan rahmat Allah. Jadi kepada Allah s.w.t sahaja kita berserah.

"Ya Tuhan. Sesungguhnya aku telah menganiaya diriku dengan penganiayaan yang banyak. Dan tiada yang dapat mengampuni segala dosa melainkan Engkau. Maka ampunkanlah bagiku akan sebagai keampunan dari sisi Engkau dan kasihanilah aku sesungguhnya Engkau yang Maha Pengampun Penyayang." (Istifar yang diajar Rasulullah s.a.w kepada Saidinna Abu Bakar)

Monday, January 18, 2010

Pasca Haji

Apabila saya berpeluang mengulangi kembali pembacaan buku Travelog dakwah karya Prof Dr. Kamil Ibrahim, saya akur dengan kebenaran pengamatan beliau. Terutama perubahan yang diharapkan dengan situasi sebenar apabila kita kembali.

Bagi diri sendiri, memang benar kekangan kerjaya untuk berjaya menunaikan solat berjemaah di masjid pada setiap waktu begitu amat-amat sukar. tetapi jika kita bersungguh dan menyediakan waktu secukupnya kita pasti boleh dengan izin Allah s.w.t. Tetapi sebagai permulaan saya rasa kita boleh bermula secara beransur-ansur. Misalnya solat zuhur di masjid berdekatan.

Namun cabaran seterusnya di rumah. kita yang masih ada tanggungjawab menghantar anak untuk ke kelas Tuisyen sebelah malam pasti menghadapi dilema untuk ke masjid sama ada ke masjid pada waktu maghrib atau Isya. kena korban salah satunya.

Faktor lain termasuklah kesihatan dan keadaan cuaca. Kebetulan awal tahun ini masih belum berkesudahan dengan musim tengkujuh. Tambahlah liatnya.

Apapun ini semua alasan. Soalnya hendak atau tidak. Dr. Kamil memang benar....