DAKWAH
DIKALANGAN MASYARAKAT MAJMUK DALAM PERSPEKTIF SARAWAK
Oleh Hj
Norhaza Ahmad Redzuan Abdullah ABS, LLB Hons (Malaya)
1.0 PENGENALAN:
1.1 Sarawak
adalah sebuah negeri yang terbesar di Malaysia (124,000 km per.) Mempunyai masyarakat berbagai kaum yang
berjumlah 2,471,140 orang (Bancian 2010).
Masyarakat terbesar adalah Iban (28.9%), Cina
(25.2) dan Masyarakat Melayu (22.4%). Umat Islam di Sarawak masih
minoriti kira-kira 26% daripada keseluruhan penduduk negeri Sarawak
1.2 Kaum
Iban (Dayak Laut / Sea Dayak) adalah Kaum pribumi Sarawak utama. Terdapat
beberapa Sub etnik Kantu, Mualang, Semberuang, Bugau & Sebaru‘ . Orang Iban
juga boleh dikategorikan berdasarkan dialek pertuturan dan lokasi. Iban Sebuyau
tinggal di Lundu and Samarahan. Iban
Remun tinggal di Serian. Iban Balaus
berasal dari Sri Aman. Iban Saribas Betong, Saratok dan Sarikei Iban Ulu Ai /
Batang tinggal di Batang Ai Lubok Antu.
Ibans Undup di Undup menggunakan dialek Ulu Aidan Balau. Iban
Rejang tinggal dari Sarikei ke Miri meliputi Sungai Rajang, Sibu, Kapit, Belaga,
Kanowit, Song, Sarikei, Bintangor, Bintulu dan Miri.
1.3 Kaum Cina adalah Kaum immigran yang datang
beramai-ramai pada kurun ke 19. Boleh dikategorikan berdasarkan kumpulan dialek
seperti Foochow, Hakka, Hokkien, Teochew,
Hainanese, dan Puxian Min. Sejak
awal kurun ke 20, orang Fuzhou dari Wilayah Fujian datang pada tahun 1901,
diikuti orang Kantonis dari Guandong pada tahun 1902 dan orang Xinghua (Heng
Hua) dari Fujian datang pada tahun 1912. Di Sarawak, tumpuan awal mereka adalah
di Sibu dan kawasan Lembah Sungai Rajang. Kini mereka mendiami semua
bandar-bandar di seluruh Sarawak.
1.4. Kaum Melayu
juga adalah Kaum pribumi Sarawak Terdapat pecahan sub Melayu Jawa, Bugis
dan lain-lain. Tedapat beberapa
teori mengenai sejarah Melayu ke Sarawak. Ada teori yang mengaitkan orang
Melayu Sarawak asalnya dari Minangkabau, Sumatera. Ada juga teori menyatakan
dari Pulau Jawa. Ada juga teori mengatakan dari Johor. Dan ada teori mengatakan dari Wilayah
Yunan, China.
1.5 Kaum
Bidayuh juga kaum pribumi dikenali sebagai Dayak Darat / Land Dayak. Terdapat
pecahan suku kaum iaitu Bekati', Binyadu, Jongkang, Ribun, Salako, Lara',
Sanggau, Sara', Tringgus, Semandang, Ahé. Kaum bidayuh juga boleh dikategorikan
berdasarkan Dialek (Bukar-Sadong, Singai-Jagoi, Biatah(Siburan,
Padawan & Biatah), Bra'ang-Pinyawa, Sepug-Emperoh, Gumbang).
1.6.
Orang Ulu pula boleh dikategorikan kepada beberapa kategori iaitu Kayan, Kenyah dan Kelabit. Selain itu
terdapat sub kategori kecil Lun Bawang dan Bukitan.
1.7.
Kaum-kaum lain terdiri dari Kedayan, Melanau,Penan, Punan Bah, Ukit, Saban dan Bisaya.
2.0
PENGERTIAN DAKWAH:
2.1. Menyeru,
mengajak dan memanggil orang untuk beriman dan taat kepada Allah Subhaanahu wa
ta’ala sesuai dengan garis aqidah, syari’at, dan akhlak Islam.
“Dan
hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan,
menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar[217]; merekalah
orang-orang yang beruntung.” (Qs. Ali-Imran [3] : 104)
2.2. Rasulullah
bersabda:
“Barangsiapa yang berkata lailahaillah dia
merupakan da'ei (pendakwah).”
3.0
PEMBAHAGIAN DAKWAH:
3.1.
Dakwah boleh dikategorikan kepada Dakwah Bil Lisan, Dakwah Bil Hal dan Dakwah
Bit-Tadwin.
3.2 Dakwah bil
lisan bererti menyampaikan Islam secara langsung terhadap non muslim melalui
Dakwah Fardiyyah ataupun Dakwah Ammah (secara kolektif). Ia dilakukan melalui komunikasi
langsung secara lisan. Terdapat
beberapa kaedah Dakwah bil lisan; Dialog, Ceramah, Khutbah, Forum, Muzakarah
dan Debat.
Di
antara Tokoh Pendakwah terkenal adalah Ahmed Hussein Deedat (1.7.1918 – 8.8
2005). Beliau banyak berdebat dengan mubaligh Kristian. Antara debat yang terkenal adalah debat dengan
Jimmy Swaggart bertajuk “Is the
Bible God's Word?” di University of Louisiana, A.S. Selain itu adalah Zakir Abdul Karim Naik (
18.10.1965). Beliau adalah Penceramah Perbandingan Agama dari Mumbai, India. Beliau
juga adalah Presiden Islamic Research Foundation (IRF).
3.3.
Dakwah Bil Hal. Dilakukan dengan menyampaikan Islam melalui amal dan
perbuatan nyata. Dakwah Bil Hal
adalah dakwah yang paling penting di dalam mendepani keadaan masyarakat majmuk
berbilang kaum budaya, agama, kepercayaan seperti negeri Sarawak. Dilaksanakan
dalam kerangka penerapan nilai-nilai Islam dalam amalan dan cara hidup
sesuatu masyarakat. Sering
menumpukan usaha-usaha pembinaan akhlak baik dalam kalangan masyarakat
seperti penerapan amalan bersatu-padu, toleransi, nilai teladan baik,
tolong-menolong, menghormati orang lain dan sebagainya. Sikap suka bergaul
dalam masyarakat adalah kunci kepada gerakan dakwah bi al-hal.
Terdapat
beberapa kaedah Dakwah bil Hal; Ziarah & Berambeh, membina Surau, Masjid /
Tanah Perkuburan, Gotong-royong, Khidmat Pemeriksaan Kesihatan dan sebagainya.
3.4
Dakwah Bit Tadwin pula merujuk kepada Dakwah melalui penulisan media massa dan
internet. Melalui buku, laman web, blog, emel, postings dan lain-lain media
sosial. Melalui penulisan Islam boleh disebarkan dengan menyampaikan Islam di
dalam bahasa ibunda mereka sendiri. Justeru usaha menerbitkan bahan-bahan agama
Islam kepada kumpulan sasar sama ada buku baru atau terjemahan adalah sangat
mustahak.
4.0 ISU-ISU
DAKWAH KEPADA MASYARAKAT MAJMUK DI SARAWAK.
4.1
Terdapat beberapa isu utama di dalam dakwah kepada masyarakat majmuk di
Sarawak.
4.2
Pertamanya isu Kumpulan sasar Dakwah. Dakwah secara umumnya adalah untuk semua
orang. Namun demikan para Daie perlu ada kumpulan sasar untuk dakwahnya. Kumpulan
Sasar adalah golongan paling berpotensi untuk didekati oleh Pendakwah. Bagi
guru sekolah kumpulan sasar adalah para pelajar. Bagi kakitangan kerajaan
adalah teman-teman sejawat. Bagi peniaga pelanggannya.
4.3.
Keduanya kandungan dakwah. Pada asasnya apa sahaja tentang Islam boleh
sampaikan. Paling
asas tentang keindahan Islam dan betapa Islam itu mudah. Elakkan isu-isu
kontroversi. Elakkan
berdebat. Jangan
mencerca Tuhan atau agama mereka. Jangan menghina budaya dan cara hidup mereka. Galakkan dialog
keharmonian agama.
4.3. Ketiganya, mengenai metodologi penyampaian. Dakwah
hendaklah melalui pergaulan dan mempamer akhlak yang baik terhadap mad’u.
4.4. Keempatnya, masa berdakwah Dakwah boleh dilakukan pada setiap masa. Carilah masa yang paling tepat yang membolehkan
mesej Islam diterima.
4.5. Kelimanya tempat berdakwah. Dakwah boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Tetapi Pendakwah yang bijak
sentiasa ada idea menentukan tempat yang paling sesuai yang memberikan
mesejnya.
4.6 Keenamnya Dakwah secara tidak langsung /
dakwah spontan. Dakwah
boleh berlaku secara spontan. Hidayah datang dari Allah s.w.t dengan kehendakNya. Jika
tepat masanya maka seseorang pendakwah itu akan mendapati dakwahnya
dipermudahkan dengan izin Allah s.w.t.
5.0 Faktor
Kejayaan Dakwah masyarakat Majmuk.
Masyarakat
majmuk bukanlah halangan besar untuk dakwah Islam. Ia adalah faktor pemangkin
memudahkan dakwah. Terdapat beberapa faktor yang boleh menentukan kejayaan
dakwah:
5.1.
Keikhlasan mengajak kepada Islam.
Setiap
pendakwah mestilah mengikhlaskan dakwahnya semata-mata untuk mendapat keredhaan
Allah s.w.t. Ia bukan disebabkan oleh faktor-faktor lain.
5.2.
Berpaksikan kasih sayang kerana Allah s.w.t.
Dakwah
yang disampaikan pula berpaksikan kasih sayang kepada sesama insan dan usaha
agar manusia lain beriman dan kembali memperhambakan diri kepada Allah s.w.t.
5.3.
Iltizam untuk menyampaikan.
Seseorang
Pendakwah hendaklah tidak mudah menyerah dan berputus asa mengajak kepada jalan
Allah s.w.t
5.4.
Istiqamah dalam Dakwah
Tidak
futur di dalam perjuangan. Walaupun sudah bertahun-tahun berjuang tidak ada
yang mengikut. Walaupun tidak ada pujian dan sanjungan. Walaupun tidak ada
ganjaran duniawi.
5.5.
Berdoa, munajat dan bertawakal.
Untuk
mencapai kejayaan faktor hubungan antara Dai’e dengan Khaliq hendaklah sentiasa
terpelihara. Hidayah adalah milik Allah. Kemenangan hanyalah dari Allah
6.0
PENUTUP :
Sarawak adalah
bumi yang subur dan berpotensi untuk Dakwah Islamiah. Keharmonian masyarakat
berbilang kaum yang saling hidup hormat menghormati adalah aset penting untuk
menjayakan dakwah. Tugas para pendakwah hanyalah untuk menyampaikan mesej
Islam. Tidak lebih daripada itu. Kita tidak bercita-cita jauh untuk mengislamkan
semua orang di Sarawak. Apa yang kita harapkan hanyalah agar kalimah Allah
s.w.t didengar dan diterima semaksima mungkin.
Walaupun
tidak salah kita berdoa dan bercita-cita menjadikan Sarawak ini sebuah negeri
Islam, namun disisi Allah yang paling utama kita telah menyampaikan mesej
Dakwah. Selebihnya kita berdoa dan bermunajat kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya
Allah s.w.t Maha Melihat dan Maha Mengetahui apa yang kita lakukan. Insya Allah
jika Allah s.w.t. memberikan kemenangan kepada Islam, percayalah kemenangan
dari Allah s.w.t. sesuatu yang terlalu besar yang tidak terjangkau dek pemikiran
akal kita.
*Dibentangkan di Bengkel Pendakwah Islam Sibu, Kingwood Hotel 9 April 2013