Wednesday, September 24, 2014

Cuti di Bandung 17-20 April 2014
Orang kata best sangat kalau bercuti ke Bandung. Apa yang best sangatnya? Strawberi? Kat Cameron Highland ada. Gunung berapi? Buat apa nak tengok gunung berapi? Entahlah tapi pergi jugaklah..









Sunday, April 14, 2013



DAKWAH DIKALANGAN MASYARAKAT MAJMUK DALAM PERSPEKTIF SARAWAK

Oleh Hj Norhaza Ahmad Redzuan Abdullah ABS, LLB Hons (Malaya)

 
1.0 PENGENALAN:

 1.1 Sarawak adalah sebuah negeri yang terbesar di Malaysia (124,000 km per.)  Mempunyai masyarakat berbagai kaum yang berjumlah  2,471,140 orang (Bancian 2010). Masyarakat terbesar adalah Iban (28.9%), Cina  (25.2) dan Masyarakat Melayu (22.4%). Umat Islam di Sarawak masih minoriti kira-kira 26% daripada keseluruhan penduduk negeri Sarawak

 1.2 Kaum Iban (Dayak Laut / Sea Dayak) adalah Kaum pribumi Sarawak utama. Terdapat beberapa Sub etnik Kantu, Mualang, Semberuang, Bugau & Sebaru‘ . Orang Iban juga boleh dikategorikan berdasarkan dialek pertuturan dan lokasi. Iban Sebuyau tinggal di  Lundu and Samarahan. Iban Remun  tinggal di Serian. Iban Balaus berasal dari Sri Aman. Iban Saribas Betong, Saratok dan Sarikei Iban Ulu Ai / Batang  tinggal di Batang Ai Lubok Antu. Ibans Undup di Undup menggunakan dialek Ulu Aidan Balau. Iban Rejang tinggal dari  Sarikei ke Miri  meliputi Sungai Rajang, Sibu, Kapit, Belaga, Kanowit, Song, Sarikei, Bintangor, Bintulu dan Miri.

 1.3 Kaum Cina adalah Kaum immigran yang datang beramai-ramai pada kurun ke 19. Boleh dikategorikan berdasarkan kumpulan dialek seperti  Foochow, Hakka, Hokkien, Teochew, Hainanese, dan Puxian Min. Sejak awal kurun ke 20, orang Fuzhou dari Wilayah Fujian datang pada tahun 1901, diikuti orang Kantonis dari Guandong pada tahun 1902 dan orang Xinghua (Heng Hua) dari Fujian datang pada tahun 1912. Di Sarawak, tumpuan awal mereka adalah di Sibu dan kawasan Lembah Sungai Rajang. Kini mereka mendiami semua bandar-bandar di seluruh Sarawak.  

1.4. Kaum Melayu  juga adalah Kaum pribumi Sarawak Terdapat pecahan sub Melayu Jawa, Bugis dan lain-lain. Tedapat beberapa teori mengenai sejarah Melayu ke Sarawak. Ada teori yang mengaitkan orang Melayu Sarawak asalnya dari Minangkabau, Sumatera. Ada juga teori menyatakan dari Pulau Jawa. Ada juga teori mengatakan dari  Johor. Dan ada teori mengatakan dari Wilayah Yunan, China.

1.5 Kaum Bidayuh juga kaum pribumi dikenali sebagai Dayak Darat / Land Dayak. Terdapat pecahan suku kaum iaitu Bekati', Binyadu, Jongkang, Ribun, Salako, Lara', Sanggau, Sara', Tringgus, Semandang, Ahé. Kaum bidayuh juga boleh dikategorikan berdasarkan Dialek (Bukar-Sadong, Singai-Jagoi, Biatah(Siburan, Padawan & Biatah), Bra'ang-Pinyawa, Sepug-Emperoh, Gumbang).

 1.6. Orang Ulu pula boleh dikategorikan kepada beberapa kategori  iaitu Kayan, Kenyah dan Kelabit. Selain itu terdapat sub kategori kecil Lun Bawang dan Bukitan.

 1.7. Kaum-kaum lain terdiri dari Kedayan, Melanau,Penan, Punan Bah, Ukit, Saban dan Bisaya.

 2.0 PENGERTIAN DAKWAH:

 2.1. Menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk beriman dan taat kepada Allah Subhaanahu wa ta’ala sesuai dengan garis aqidah, syari’at, dan akhlak Islam.

 “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar[217]; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Qs. Ali-Imran [3] : 104)

 2.2. Rasulullah bersabda:

 Barangsiapa yang berkata lailahaillah dia merupakan da'ei (pendakwah).”

 3.0 PEMBAHAGIAN DAKWAH:

 3.1. Dakwah boleh dikategorikan kepada Dakwah Bil Lisan, Dakwah Bil Hal dan Dakwah Bit-Tadwin.

 3.2   Dakwah bil lisan bererti menyampaikan Islam secara langsung terhadap non muslim melalui Dakwah Fardiyyah ataupun Dakwah Ammah (secara kolektif). Ia dilakukan melalui komunikasi langsung secara lisan. Terdapat beberapa kaedah Dakwah bil lisan; Dialog, Ceramah, Khutbah, Forum, Muzakarah dan Debat.
Di antara Tokoh Pendakwah terkenal adalah Ahmed Hussein Deedat (1.7.1918 – 8.8 2005). Beliau banyak berdebat dengan mubaligh Kristian.  Antara debat yang terkenal adalah debat dengan Jimmy Swaggart  bertajuk “Is the Bible God's Word?” di University of Louisiana, A.S.  Selain itu adalah Zakir Abdul Karim Naik ( 18.10.1965). Beliau adalah Penceramah Perbandingan Agama dari Mumbai, India. Beliau juga adalah Presiden Islamic Research Foundation (IRF).

 3.3. Dakwah Bil Hal. Dilakukan dengan menyampaikan Islam melalui amal dan perbuatan nyata.  Dakwah Bil Hal adalah dakwah yang paling penting di dalam mendepani keadaan masyarakat majmuk berbilang kaum budaya, agama, kepercayaan seperti negeri Sarawak. Dilaksanakan dalam kerangka penerapan nilai-nilai Islam dalam amalan dan cara hidup sesuatu masyarakat.  Sering menumpukan usaha-usaha pembinaan akhlak baik dalam kalangan masyarakat seperti penerapan amalan bersatu-padu, toleransi, nilai teladan baik, tolong-menolong, menghormati orang lain dan sebagainya. Sikap suka bergaul dalam masyarakat adalah kunci kepada gerakan dakwah bi al-hal.

Terdapat beberapa kaedah Dakwah bil Hal; Ziarah & Berambeh, membina Surau, Masjid / Tanah Perkuburan, Gotong-royong, Khidmat Pemeriksaan Kesihatan dan sebagainya.

 3.4 Dakwah Bit Tadwin pula merujuk kepada Dakwah melalui penulisan media massa dan internet. Melalui buku, laman web, blog, emel, postings dan lain-lain media sosial. Melalui penulisan Islam boleh disebarkan dengan menyampaikan Islam di dalam bahasa ibunda mereka sendiri. Justeru usaha menerbitkan bahan-bahan agama Islam kepada kumpulan sasar sama ada buku baru atau terjemahan adalah sangat mustahak.

 4.0 ISU-ISU DAKWAH KEPADA MASYARAKAT MAJMUK DI SARAWAK.

 4.1 Terdapat beberapa isu utama di dalam dakwah kepada masyarakat majmuk di Sarawak.

 4.2 Pertamanya isu Kumpulan sasar Dakwah. Dakwah secara umumnya adalah untuk semua orang. Namun demikan para Daie perlu ada kumpulan sasar untuk dakwahnya. Kumpulan Sasar adalah golongan paling berpotensi untuk didekati oleh Pendakwah. Bagi guru sekolah kumpulan sasar adalah para pelajar. Bagi kakitangan kerajaan adalah teman-teman sejawat. Bagi peniaga pelanggannya.

4.3. Keduanya kandungan dakwah. Pada asasnya apa sahaja tentang Islam boleh sampaikan. Paling asas tentang keindahan Islam dan betapa Islam itu mudah. Elakkan isu-isu kontroversi. Elakkan berdebat. Jangan mencerca Tuhan atau agama mereka. Jangan menghina budaya dan cara hidup mereka. Galakkan dialog keharmonian agama.
4.3. Ketiganya, mengenai metodologi penyampaian. Dakwah hendaklah melalui pergaulan dan mempamer akhlak yang baik terhadap mad’u.
4.4. Keempatnya, masa berdakwah Dakwah boleh dilakukan pada setiap masa. Carilah masa yang paling tepat yang membolehkan mesej Islam diterima.
4.5. Kelimanya tempat berdakwah. Dakwah boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Tetapi Pendakwah yang bijak sentiasa ada idea menentukan tempat yang paling sesuai yang memberikan mesejnya.
4.6   Keenamnya Dakwah secara tidak langsung / dakwah spontan. Dakwah boleh berlaku secara spontan. Hidayah datang dari Allah s.w.t dengan kehendakNya. Jika tepat masanya maka seseorang pendakwah itu akan mendapati dakwahnya dipermudahkan dengan izin Allah s.w.t.

 5.0 Faktor Kejayaan Dakwah masyarakat Majmuk.

 Masyarakat majmuk bukanlah halangan besar untuk dakwah Islam. Ia adalah faktor pemangkin memudahkan dakwah. Terdapat beberapa faktor yang boleh menentukan kejayaan dakwah:

 5.1. Keikhlasan mengajak kepada Islam.

 Setiap pendakwah mestilah mengikhlaskan dakwahnya semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. Ia bukan disebabkan oleh faktor-faktor lain.

 5.2. Berpaksikan kasih sayang kerana Allah s.w.t.

 Dakwah yang disampaikan pula berpaksikan kasih sayang kepada sesama insan dan usaha agar manusia lain beriman dan kembali memperhambakan diri kepada Allah s.w.t.

 5.3. Iltizam untuk menyampaikan.

 Seseorang Pendakwah hendaklah tidak mudah menyerah dan berputus asa mengajak kepada jalan Allah s.w.t

 5.4. Istiqamah dalam Dakwah

 Tidak futur di dalam perjuangan. Walaupun sudah bertahun-tahun berjuang tidak ada yang mengikut. Walaupun tidak ada pujian dan sanjungan. Walaupun tidak ada ganjaran duniawi.

 5.5. Berdoa, munajat dan bertawakal.

 Untuk mencapai kejayaan faktor hubungan antara Dai’e dengan Khaliq hendaklah sentiasa terpelihara. Hidayah adalah milik Allah. Kemenangan hanyalah dari Allah

 6.0 PENUTUP :

 Sarawak adalah bumi yang subur dan berpotensi untuk Dakwah Islamiah. Keharmonian masyarakat berbilang kaum yang saling hidup hormat menghormati adalah aset penting untuk menjayakan dakwah. Tugas para pendakwah hanyalah untuk menyampaikan mesej Islam. Tidak lebih daripada itu. Kita tidak bercita-cita jauh untuk mengislamkan semua orang di Sarawak. Apa yang kita harapkan hanyalah agar kalimah Allah s.w.t didengar dan diterima semaksima mungkin.

 Walaupun tidak salah kita berdoa dan bercita-cita menjadikan Sarawak ini sebuah negeri Islam, namun disisi Allah yang paling utama kita telah menyampaikan mesej Dakwah. Selebihnya kita berdoa dan bermunajat kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Melihat dan Maha Mengetahui apa yang kita lakukan. Insya Allah jika Allah s.w.t. memberikan kemenangan kepada Islam, percayalah kemenangan dari Allah s.w.t. sesuatu yang terlalu besar yang tidak terjangkau dek pemikiran akal kita. 

 
*Dibentangkan di Bengkel  Pendakwah Islam Sibu,  Kingwood Hotel 9 April 2013

 
Kembali ke Kota Kinabalu. Sungguh indah suasana senja. Di tebingan sungai kami menikmati keindahan ciptaan Allah s.w.t. Begitu cepatnya masa berlalu. Sebagaimana cepatnya subuh bertukar pagi, pagi bertukar petang dan petang bertukar malam. Justeru kita perlu menikmati kehidupan ini dengan mencari amal soleh dan menyumbangkan sesuatu untuk faedah orang lain. Agar tatkala kita kembali bertemu Allah nanti, kita puas dengan nikmat kehidupan yang diberikan.

Tuesday, December 4, 2012

Sesekali memikirkan alangkah indahnya kehidupan ini Allah s.w.t jadikan. Tidak ada sesuatu itu yang sia-sia melainkan terdapat tujuan dan maksud tertentu. Dan terpulang kepada kita untuk menghargai nikmat itu dengan menzahirkan kesyukuran. Atau kita membiarkan masa terus berlalu tanpa berbuat apa-apa. Hakikatnya semakin kita bersyukur semakin kita menginsafi betapa kerdilnya diri kita. Semakin kita menghampiri Allah s.w.t dengan rasa cinta dan mengharapkan pertemuan dengan Nya. Justeru. Hargailah kehidupan ini yang tidak diberikan dengan sia-sia.

Saturday, January 28, 2012

Kolum Mingguan memetik ayat-ayat kitab suci semua agama


Akhbar Utusan Borneo edisi Khamis 26 Januari 2012 melaporkan:

“The Borneo Post akan menerbitkan ruangan Rangkaian Antara agama Malaysia. Keluaran sulungnya akan memetik ayat-ayat daripada Kitab-kitab suci Al-Quran, Injil, Baha’i, Buddist dan Hindu yang akan disiarkan setiap Ahad. Selain itu Harmoni antara agama juga akan dianjurkan bersama dengan rangkaian Antara Agama Malaysia. Setiausaha Agung Persatuan Gereja Sarawak (ACS) Ambrose Linang berkata, objektif penganjuran program itu ialah merapatkan lagi hubungan antara semua agama dan bekerjasama untuk kepentingan bersama. Kolum mingguan ini juga akan memetik ayat-ayat suci’ daripada semua agama dan disiarkan dalam halaman sama pada hari tertentu. Pengerusi Rangkaian Antara Agama Malaysia Dr. Anwar Razali dijangka menyampaikan ucapan pada hari pelancaran. Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Hal Ehwal Islam Datuk Daud Abdul Rahman dijangka bakal merasmikan majlis perlancaran yang akan diadakan di Tingkat 9, Crown Towers, Kuching.”

Saya tergaman membaca berita ini. Mengapakah kita perlu melayan usaha-usaha agama-agama lain ini? Ini satu bentuk usaha licik mereka mengangkat agama mereka agar setaraf dengan agama Islam yang telah diiktiraf sebagai agama Persekutuan Malaysia. Kenapa kita mudah sangat diperdaya atas nama merapatkan hubungan antara agama dan bekerjasama. Kesian YB Datuk Daud. Siapa akan menyedarkannya...

Monday, January 23, 2012

Masa berlalu pantas

21 hari telah berlalu bagi tahun 2012. Begitulah pantas masa berlalu. Begitu jugalah saya melihat sekeliling saya ternyata banyak yang berubah. Begitulah Allah telah menentukan segala-galanya mengikut kebijaksanaanNya. Istimewa tahun ini, usrah kami dimulakan dengan majlis berpisah dengan Ustaz Hj Roslan. Kenangan paling manis kami setelah bertahun-tahun bersama.

Usrah akan diteruskan Insya Allah pada tahun ini. Ternyata tarbiyyah sesuatu yang tidak dapat ditinggalkan. Ia membentuk diri kita dari dulu sehingga kini dan menjadikan kita terus berada pada jalan perjuangan. Semoga kita akan terus berada pada sisiNya sebagai hamba-hamba yang sentiasa dikasihi dan dirahmatiNya dunia dan akhirat.

Sunday, December 4, 2011

Kembara ke Beijing

Tahun 2011 bakal melabuhkan tirai, dan tahun ini saya sekeluarga telah memilih untuk mengembara ke bumi Beijing, Republik Rakyat China. Bermula dari 10 November dan berakhir pada 16 November ia telah memberikan banyak pengalaman dan memberikan kepuasan baru di dalam mencari ilmu di bumi Allah ini.

Kami banyak melihat sendiri kehebatan negara yang mempunyai penduduk teramai di dunia (kira-kira 1/4 penduduk dunia.) .Kami juga kagum dengan bukti-bukti sejarah yang kami lihat terutama kehebatan bangsa China membangun tamadun dan negara besar.